Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi meneruskan prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan penyewelengan dana RM2.3 bilion melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pagi ini.

Najib tiba dengan kenderaan khas Penjara Kajang sekitar jam 8.40 pagi tadi, menyaksikan barisan penyokong tetap setia beliau menanti di luar pekarangan mahkamah seawal 8 pagi.

Ahli Parlimen Pekan itu ketika ini sedang berdepan dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta selepas didapati bersalah menyeweleng dana SRC International Sdn Bhd (SRC) yang juga merupakan anak syarikat 1MDB sebanyak RM42 juta bulan lepas.

Dalam prosiding yang sedang berlangsung ini, Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Minggu lepas, saksi pendakwaan ke-37, Pengurus Cawangan AmBank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R. Uma Devi mendedahkan Najib telah melantik Nik Faisal Ariff Kamil sebagai pemegang mandat bagi lima akaun AmIslamic Bank miliknya.

Dakwa Uma Devi, Najib melantik Nik Faisal sebagai pemegang mandat bagi akaun simpanan AmIslamic berakhir nombor 694 dan empat akaun semasa iaitu AmIslamic (481), AmPrivate Banking-1MY (880), AmPrivate Banking-Y1MY (898) serta AmPrivate Banking-MY.

Untuk makluman Najib membenarkan Nik Faisal membuat pertanyaan mengenai status, butiran akaun termasuk baki serta mengesahkan cek bernilai melebihi RM250,000 malah pihak bank perlu mendapatkan pengesahan individu itu untuk meneruskan transaksi bagi mana-mana cek yang dikemukakan daripada akaun Najib.

Prosiding di jangka bermula sekitar 9.30 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Najib masih lagi berada dalam bilik saksi dan belum nampak kelibatnya di galeri mahkamah setakat ini. – MalaysiaGazette