Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases recoveries
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR –  Tiada sampel produk kicap soya, termasuk kicap soya ABC, yang berada di pasaran tempatan dikesan mengandungi sulfur dioksida.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, semakan ke atas data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) mengesahkan produk Kicap Soya Manis dan Sambal Ayam Goreng jenama ABC yang ditarik dari pasaran Singapura kerana mengandungi sulfur dioksida tidak diisytiharkan atau dilabel pembungkusan, turut diimport ke negara ini.

“Sejak Jun 2021, arahan Tahan Uji Lepas (TUL) telah dikenakan ke atas produk Kicap Soya Manis berjenama ABC di semua pintu masuk negara.

“Arahan pelabelan semula atau arahan untuk dihantar semula ke negara asal turut dikeluarkan sekiranya tidak mematuhi keperluan pelabelan termasuk pelabelan sulfur dioksida,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, sulfur dioksida diklasifikasikan sebagai bahan pengawet yang dibenarkan dalam makanan tertentu dan pada paras tertentu di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Sulfur dioksida tidak berbahaya kepada manusia apabila digunakan dalam kepekatan yang dibenarkan tetapi boleh menyebabkan kesan alergik kepada sesetengah individu yang menghidapi lelah atau asma jika terhidu atau tertelan, ujarnya.

“Kandungan sulfur dioksida melebihi 10mg/kg hendaklah diisytiharkan atau dilabelkan,” jelas Dr. Noor Hisham.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Katanya, sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu itu dan isu-isu keselamatan makanan yang lain, para pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat  melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman rasmi facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq. – MalaysiaGazette