MACC Malaysian Anti-Corruption Commission 1MDB funds recovery assets
Seorang wanita akan direman sprm esok kerana disyaki menerima habuan bulanan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seramai enam individu bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu bernilai hampir RM900,000.

Kesemua suspek disyaki melakukan kesalahan itu pada tahun 2016 hingga 2021.

Keenam-enam suspek termasuk empat wanita berusia antara 30 hingga 59 tahun ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira pukul 5 petang ketika hadir untuk memberi keterangan hari ini.

Tiga suspek yang masing-masing merupakan ketua pegawai operasi, pengarah dan akauntan sebuah syarikat pembinaan dipercayai berpakat meluluskan pembayaran kepada dua buah syarikat yang terbabit dalam kerja-kerja menaik taraf saliran dan projek tebatan banjir di Selangor sedangkan kerja-kerja itu tidak dilaksanakan.

Sumber berkata, projek pertama iaitu kerja-kerja menaik taraf saliran membabitkan nilai lebih RM250,000 manakala projek tebatan banjir pula bernilai lebih RM600,000.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk permohonan reman. – MalaysiaGazette