Mantan Pegawai Turus F-Team, ACP (B) Datuk Abdullah Abdul Hamid bercakap pada sidang media mengenai Wira Negara tak didendang (F-Team pasukan elit SB Bukit Aman lawan Komunis) di Villa Puteri Kondominium, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 13 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR –  Jika di Amerika Syarikat, pegawai yang pernah berkhidmat untuk Central Intelligence Agency (CIA) yang bersara akan diserap semula bekerja dan kebajikannya dijaga.

Namun berbeza ceritanya di dalam negara apabila Pasukan F (F-Team) Cawangan Khas Bukit Aman yang mendakwa jasa mereka yang berjuang ketika negara berdepan dengan komunis tidak dihargai.

Mantan Pegawai Turus F-Team, Datuk Abdullah Abdul Hamid berkata, pasukan itu mahu sejarah dan jasa mereka diberikan pengiktirafan termasuk menjaga kebajikan bekas ahli-ahlinya yang kini sudah warga emas.

Beliau mendedahkan, hampir 30 orang bekas ahli F-Team memerlukan pelbagai bantuan seperti perubatan dan kewangan.

“Kini ada 30 anggota tidak berpencen dan hidup dalam kemiskinan, mereka tidak mempunyai kad pesara kerana tidak diiktiraf.

“Jadi, kami mahu Pasukan F diiktiraf, sama ada diberi imbuhan atau pingat berjasa kepada negara.. terpulang kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Jelas Abdullah, ada juga antara mereka yang berhenti sebelum tempoh atas sebab-sebab tertentu dan ada juga antara mereka yang bekerja sendiri untuk menyara hidup.

Terdahulu beliau bersama beberapa rakan sejawatnya berjumpa dengan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nazim Johan.

Mantan Pegawai Turus F-Team, ACP (B) Datuk Abdullah Abdul Hamid. Foto MUHD NA’IM, 13 SEPTEMBER 2022.

Untuk rekod, ‘F’ Pasukan F bermaksud “Fight, Fighter, Fighting, Fearless” yang berslogankan ‘Hanya Yang Berani’ menyertainya.

Pasukan F ditubuhkan pada 1971 dengan kekuatan seramai 165 anggota dan kemudian dibubarkan dibubarkan secara rasmi pada 1995.

Pasukan itu terkenal antaranya dalam operasi Kelong, Kelah dan Telemong sehingga berjaya menangkap ketua pengganas komunis paling dikehendaki, Chong Chor.

Kejayaan ‘pembersihan’ komunis mereka termasuk penyerahan diri 83 komunis di Tanjung Malim, Perak pada 12 Disember 1988.

Cerita mereka ini kurang diketahui awam kerana ia operasi rahsia dan tidak terpampang di akhbar atau buku ekoran operasi mereka yang sulit.

“Penubuhan F-Team adalah kerana kemasukan semula kedua pengganas komunis yang bermula di Kedah kemudian di Perak dan akhirnya di Pahang”

“Dua kali negara menentang komunis, sekali pada tahun 1948 sehingga 1960, sekali lagi pada 1968 sehingga 1988 di Semenanjung” katanya.

Menurut Abdullah, F-Team ditugaskan untuk mendapat info  dan risikan dan menangkap komunis secara hidup-hidup untuk digunakan sebagai sumber informasi menjejaki konco-konco mereka yang lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast