KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa kerajaan tidak akan terlalu fokus kepada prestasi mata wang adalah membimbangkan dan tempang dari segi fakta.
Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung Mmendakwa, nilai ringgit bukannya merosot baru-baru ini tetapi trend itu sejak 20 tahun lalu.
“Hari ini, ringgit telah merosot sebanyak 32 peratus berbanding dengan dolar Singapura, 30 peratus dengan China dan Thailand, 21 peratus dengan Eropah dan 15 peratus dengan dolar Amerika Syarikat.
“Maka boleh disimpulkan bahawa kejatuhan nilai mata wang ringgit adalah satu trend jangka masa panjang yang berterusan. Persoalannya, mengapakah ini berlaku?
“Salah satu sebab adalah kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI). Dari tahun 2000 hingga 2020, Malaysia hanya berjaya menarik 8 peratus daripada jumlah FDI yang datang ke rantau ASEAN, berbanding dengan 24 peratus sebelum tahun 1997.
“Sekarang, Singapura muncul sebagai penarik FDI terbesar dengan pengambilan 55 peratus daripada jumlah FDI yang datang ke rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Chean Chung membidas kenyataan Tengku Zafrul semalam bahawa kerajaan tidak akan “terlalu fokus” kepada prestasi mata wang kerana akan terus memberikan tumpuan kepada prestasi ekonomi jangka masa sederhana hingga dan jangka masa panjang.
Beliau hairan bagaimana Tengku Zafrul sebagai seorang Menteri Kanan tidak menyedari penurunan ringgit adalah satu trend berterusan dan perlu ditangani segera oleh kerajaan.
“Beliau juga langsung tidak mengambil berat tentang kesusahan dan penderitaan yang dihadapi oleh rakyat jelata sekarang akibat kenaikan harga barang yang berpunca daripada kejatuhan nilai mata wang ringgit.
“Apabila ringgit merosot, rakyat terpaksa menggunakan lebih ringgit untuk membeli barang keperluan yang perlu diimport seperti susu, daging lembu, koko, ubi kentang dan lain-lain.
“Sekiranya Tengku Zafrul tidak mengambil berat isu kejatuhan ringgit, harga barang akan naik dan terus naik,” katanya lagi.
Untuk rekod, ringgit susut melepasi paras RM4.50 berbanding dolar Amerika Syarikat pada 6 September lalu, terendah sejak Januari 1998. – MalaysiaGazette