Ismail Sabri Yaakob hadir majlis Kongres Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (WCIT) 2022 di Spice Arena, Pulau Pinang.

BAYAN LEPAS – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memutuskan keperluan perubatan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, beliau telah berhubung dengan KKM berhubung perkara itu semalam.

“Semalam saya sudah menghubungi KKM apa sahaja yang diperlukan (Najib) kita cuba penuhi.

“Adakah Najib dimasukkan ke IJN, saya akan periksa. Kalau perlu masuk ke mana-mana (hospital) KKM akan putuskan,” katanya selepas majlis perasmian Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia (WCIT) 2022 di Spice Arena, di sini, hari ini.

Semalam anak perempuan Najib, Nooryana Najwa berkata, doktor mengesan beberapa ulser dalam perut bapanya dan berlaku pendarahan ketika Ahli Parlimen Pekan itu mendapat rawatan di HKL.

Nooryana atau lebih dikenali sebagai Yana menjelaskan, tekanan darah bapanya terlalu tinggi yang mungkin disebabkan pertukaran ubat.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Najib diberikan jenis ubat yang sama seperti sebelum ini ketika beliau menerima rawatan di HKL, dan ubat diberikan berada dalam senarai ubatan Kementerian Kesihatan.

Jelas Dr Noor Hisham, bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke HKL pada Jumaat lalu sebagai kes elektif (bukan kecemasan) bagi memastikan kesihatan beliau berada pada tahap baik dan optimum, dan hospital itu turut mengadakan sidang keluarga dua kali, yang dihadiri Najib dan ahli keluarganya.

Najib sedang menjalani hukuman penjara berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas beliau kerana didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International (SRC) Sdn. Bhd. -MalaysiaGazette