Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih lagi meneliti dakwaan Meta Platform Incorporated berkaitan beberapa akaun palsu di laman media sosial yang mempunyai kaitan dengan pasukan keselamatan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk meneliti dakwaan tersebut.

“Jika ada perkembangan lanjut, jabatan ini akan maklum,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan watikah pelantikan Duta Anti-Scam di Maktab PDRM, Cheras, di sini hari ini.

Seramai 56 individu terdiri atlet, selebriti, pempengaruh menerima sijil lantikan sebagai duta Kempen Anti-Scam bagi merancakkan hebahan informasi kepada masyarakat berkaitan jenayah komersial khususnya tentang penipuan dalam talian.

Sebelum itu, syarikat konglomerat media itu menyatakan bahawa terdapat kemungkinan campur tangan polis Malaysia di sebalik penutupan lebih daripada 600 akaun Facebook dan Instagram di negara ini kerana menjadi platform ‘troll farm’.

Istilah ‘troll farm’ merujuk kepada laman sosial yang diwujudkan untuk menjejaskan dan memanipulasi wacana awam menerusi akaun-akaun palsu.

Laporan dari syarikat itu juga mendakwa akaun-akaun terbabit dipercayai dipadam kerana melanggar polisi koordinasi perlakuan tidak sahih (Coordinated Inauthentic Behaviour – CIB), yang dipercayai berhubung kait dengan pasukan polis.

Menurut Meta, di Facebook sahaja, sejumlah 596 akaun, 180 laman ‘Pages’ dan 11 ‘Group’ telah dipadam manakala 72 akaun Instagram telah ditutup kerana menjadi sebahagian daripada jaringan itu. – MalaysiaGazette