TANJONG KARANG – Kerajaan Negeri Selangor digesa mempercepatkan projek menaik taraf benteng pemecah ombak di kawasan pesisir pantai, di sini, bagi menangani ancaman fenomena air laut pasang besar dan musim tengkujuh.
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu menyegerakan kerja-kerja penyelenggaraan itu bagi mengelakkan kejadian banjir besar berulang.
“Saya bimbang jika projek ini lewat dilaksanakan, kawasan rendah di Kampung Sungai Kajang dan berhampirannya boleh tenggelam.
“Kita pernah ada sejarah kawasan laluan utama di Pekan Tanjong Karang dilanda banjir besar akibat pertembungan air laut dengan hujan hingga melimpah ke darat,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau melakukan tinjauan ke Pantai Sungai Kajang di sini susulan perkembangan semasa fenomena air pasang besar dan musim tengkujuh bermula September hingga Disember tahun ini.
Noh selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, sebanyak RM10 juta diperuntukan bagi kerja menaik taraf kawasan pesisir Sungai Kajang, Bagan Sungai Kajang dan Sungai Janggut.
“Saya difahamkan peruntukan sudah ada, cuma kerja-kerja penyelenggaraan masih belum dilakukan,” katanya.
Sementara itu, katanya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi menaik taraf kawasan tumpuan pelancongan di Pantai Sungai Kajang, di sini.
Bagaimanapun katanya, walaupun kelulusan peruntukan sudah ada, namun pihaknya masih menunggu proses kebenaran pembangunan daripada Jabatan Perhutanan Selangor.
“Kita harap Jabatan Perhutanan Selangor dapat membuat keputusan segera bagi membolehkan kerja menaik taraf dapat dilaksanakan segera,” katanya. – MalaysiaGazette