Majlis Penyampaian Surat Tahniah dan Wang Pendahuluan Pelajar Tahun Ketiga Program Kolej Yayasan Pahang (KYP)-Universiti Yarmouk, Jordan di Wisma Sri Pahang

KUANTAN –  Kerajaan Pahang memperuntukan sebanyak AS$15,000 (RM4,527) kepada 15 pelajar Kolej Yayasan Pahang (KYP) yang berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk, Jordan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesemua pelajar berkenaan merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah (Ekonomi dan Perbankan Islam) melalui program kerjasama antara KYP dan Universiti Yarmouk.

“Setiap pelajar terlibat yang akan berangkat ke Jordan pada 25 September ini untuk meneruskan pengajian bagi tahun tiga dan empat menerima sumbangan AS$1,000.

“Melalui program ini, pelajar terlibat perlu mengikuti Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) selama empat bulan sebelum mengikuti pengajian selama dua tahun di KYP dan dua tahun lagi di Universiti Yarmouk,” katanya.

Wan Rosdy berkata ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Surat Tahniah dan Wang Pendahuluan Pelajar Tahun Ketiga Program Kolej Yayasan Pahang (KYP)-Universiti Yarmouk, Jordan di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pertemuan singkat itu, Wan Rosdy sempat menasihati semua penuntut agar belajar bersungguh-sungguh dan berkongsikan pengalaman beliau ketika menuntut di universiti.

Yayasan Pahang (YP) telah menawarkan 402 pelajar untuk mengikuti program ini dengan penajaan pinjaman berjumlah RM82,000 setiap orang untuk tempoh empat tahun pengajian bermula  tahun 2005.

Sehingga kini seramai 331 orang berjaya menamatkan pengajian berkaitan.

Difahamkan dari segi kebolehpasaran pekerjaan, alumni program ini merupakan 94% adalah bekerja dan bali 6% bekerja sendiri atau sedang menyambung pengajian.

Lepasan penuntut juga mampu menjana pendapatan dengan julat pendapatan antara RM1,500 hingga RM16,000. – MalaysiaGazette