Bekas Ketua Penolong Pegawai Daerah dan Tanah Kuala Langat didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dua tuduhan rasuah RM7,000 bagi kerja penurapan semula jalan di buah lorong di Kuala Langat pada tahun 2020 dan 2021. - Foto Ihsan SPRM Selangor

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penolong Pegawai Daerah dan Tanah Kuala Langat didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dua tuduhan rasuah RM7,000 bagi kerja penurapan semula jalan  pada tahun 2020 dan 2021.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd. Asraf Redzuan, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, Mohd Asraf telah meminta wang RM5,000 dan menerima upah RM2,000 daripada Nor Samsyul Serian, 44, secara berasingan pada 11 November 2020 dan 24 Februari 2021.

Suapan itu sebagai dorongan bagi membantu syarikat Delima Teguh Enterprise mendapatkan kerja-kerja menurap semula Lorong Orkid 4 dan Lorong Kenanga 1, Kampung Batu 10, Kuala Langat dengan harga kerja RM95,362.80.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan Iaitu menyerahkan pasport untuk simpanan mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri pada minggu pertama di Pejabat SPRM terdekat.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jumlah jaminan dipohon dan syarat tambahan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes pada 27 Oktober depan. – MalaysiaGazette