KUALA LUMPUR – Pertemuan pendakwah bebas terkenal, Ustazah Asma’ Harun dan penyanyi dangdut sensasi, Ifa Raziah baru-baru ini menjadi bualan ramai termasuk mendapat reaksi negatif dalam kalangan netizen.
Ini kerana ramai mengatakan pertemuan tersebut adalah dirancang untuk mencipta konten dan publisiti.
Tidak mahu berdiam diri, Asma’ tampil menafikan tuduhan tidak berasas tersebut.
Menerusi video penjelasan dikongsikan di platform Instagram, beliau menegaskan, pertemuannya dan Ifa Raziah tidak dijangka, baik pihaknya atau selebriti tersebut.
“Pertemuan saya dengan Ifa Raziah tidak dirancang. Sama ada oleh pihak Ifa Raziah sekalipun. Ada al-Quran di depan saya,” jelasnya.
Sementara itu, Asma’ memberitahu dirinya tidak kisah sekiranya menerima kecaman termasuk individu menabur fitnah terhadap dirinya.
Namun, bagi dirinya apa yang penting niat sebenar pertemuan mereka berdua.
“Orang fitnah kata ustazah ini banyak drama. Lepas dia kecam-kecam, buatlah pertemuan ini. Boleh percaya ke? Kata mereka macam itu.
“Dari awal lagi saya dah berniat. Ya Allah, temukanlah di mana-mana dengan Kak Ifa. Saya nak selesaikan. Sebab dalam hati tiada niat membenci,” katanya lagi.
Asma’ berkata, apa yang menjadi keutamaannya sekarang adalah pendidikan akhlak bagi setiap ummah dan bukannya perihal dirinya menjadi mangsa fitnah atau kecaman ramai.
“Saya tak kisah, saya difitnah atau disangka buruk. Tetapi, yang lebih utama adalah pendidikan akhlak ummah.
“Mungkin disebabkan itulah kekuatan. Bukan untuk membela diri saya, tidak. Tetapi saya perlu perlu menulis atas membersih dan menyucikan diri atas tuntutan agama itu sendiri,” jelasnya.
Sebelum ini, tular sebuah video di laman sosial apabila penyanyi sensasi, Ifa Raziah meluahkan rasa sebak dan terharu apabila dia akhirnya berpeluang untuk berjumpa dengan Asma’ yang telah menjadi bualan netizen. – MalaysiaGazette