PH judi
Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Tindakan pemimpin kanan DAP Lim Guan Eng menuduh Datuk Idris Ahmad telah memalukan mangsa serangan seksual beragama Islam dianggap sebagai fitnah berat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mempersoalkan adakah salah jika beliau menggunakan ilmu dan hujah agama untuk memandu rakyat dan umat Islam dalam setiap pertimbangan dosa dan pahala untuk kemaslahatan umat itu sendiri.

“Adakah salah untuk saya sebagai Menteri Agama menyeru perkara yang digariskan dalam agama, tanpa melarikan sedikit pun prinsip yang terkandung di dalam al-Quran?

“Atau YB sengaja memercikkan api perkauman dan membesarkan jurang agama dengan menghasut para non-muslim menjauhi kepercayaan yang di amalkan oleh umat Islam?

“Sedangkan di luar sana, cukup ramai non muslim yang memahami keterbatasan yang digariskan di dalam Islam dan menghormari pendirian dan pengamalan oleh umat Islam itu sendiri,” kata Idris.

Naib Presiden Pas itu berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Guan Eng seperti mengulangi episod ketika Pakatan Harapan (PH) diberi peluang memerintah.

Idris mendakwa, pada waktu itu habis semua kesalahan dituding kepada pemerintahan lama sehingga PH tidak sempat menunaikan janji kayangan yang dilaungkan semasa berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau menengaskan, Guan Eng seharusnya memberi perhatian terhadap tuduhan rasuah yang dihadapi beliau berkaitan projek pembinaan terowong bawah laut di Pulau Pinang.

“Apa kata, saya akan teruskan tugas saya sebagai Menteri Agama, dan melihat mana-mana ruang penambahbaikan dan kemajuan Umat Islam dan rakyat Malaysia dengan autoriti yang saya ada untuk memberi keprihatinan saya untuk survival rakyat.

“Dan kamu pula fokus membersihkan diri kamu yang sedang dibicarakan atas pertuduhan rasuah dalam kes terowong.

“Ada ramai lagi rakyat yang perlukan bantuan makanan dan pendapatan yang perlu kami di dalam agensi agama usahakan untuk mereka ini,” kata Idris.

Guan Eng dalam kenyataan media mendakwa Idris mendahului senarai tiga menteri Pas yang tidak membawa sebarang nilai dalam melaksanakan tugas.

Pengerusi DAP itu berkata, mereka juga menggugat perpaduan negara dan keharmonian agama.

“Idris telah memalukan mangsa serangan seksual beragama Islam yang mendedahkan kisahnya kepada umum dan juga cuba mengganggu-gugat gaya hidup, hak adat dan amalan budaya orang bukan Islam.

“Pengawasan moral seperti itu tidak membawa sebarang faedah atau penambahbaikan terhadap akauntabiliti awam apabila rasuah masih berleluasa atau tadbir urus yang lebih baik apabila penyampaian perkhidmatan awam masih lemah.

“Sehinggakan bekalan air bersih pun tidak cukup. Sebaliknya, Malaysia menerima akibat buruk kerana dilihat sebagai ekstrimis dan perkauman,” kata Guan Eng.-MalaysiaGazette