Dr. Masliha Harun (kiri) dan Fahmi Fadzil

SEMALAM genap setahun Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pembangkang Pakatan Harapan (PH).

MoU ditandatangi oleh Ismail Sabri dengan pemimpin PH berikutan tipisnya majoriti Kerajaan yang dipimpin beliau selepas Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dijatuhkan.

Hari ini, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil mendabik dada dengan kejayaan MoU yang ditandatangai tersebut.

Menurut Fahmi, lebih 83 peratus perkara-perkara yang disepakati dalam MoU itu sudah berjaya dilaksanakan.

Serentak itu, kata Fahmi, lebih banyak transformasi dan reformasi institusi boleh dilakukan jika rakyat memberi peluang sekali lagi kepada PH untuk memerintah negara.

Benarkah pelaksanakan sebahagian besar daripada MoU itu merupakan satu kejayaan kepada PH dan membuktikan mereka berhak untuk menjadi kerajaan semula?

PM dan menteri BN yang jayakan MoU

Adalah salah dan tidak tepat sekiranya Fahmi mendakwa kejayaan melaksanakan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik  adalah kejayaan PH semata-mata.

Exco Puteri UMNO, Dr. Maslihah Harun. Foto HAZROL ZAINAL, 27 JANUARI 2022.

Sedangkan menurut Exco Pergerakan Puteri UMNO, Dr Masliha Harun, kejayaan menunaikan MoU antara PH dan kerajaan disumbangkan oleh peranan yang dimainkan oleh perdana menteri dan menteri-menteri daripada Barisan Nasional (BN).

“Kebanyakannya kejayaan yang boleh kita lihat daripada menteri BN itu sendiri yang mana PM adalah daripada UMNO dan pelaksanaannya dibuat daripada kementerian yang datangnya daripada menteri-menteri BN.

“Kalau rakyat tengok MoU itu lebih kepada kesefahaman politik yang mana ia tidak ganggu dasar Kerajaan. Itu dari satu segi baik tapi tiada dasar baru yang membina dan membawa kepada pelaksanaan yang unggul oleh PH.

“Bermakna mereka tiada idea mahu membawa masuk pelaburan sedangkan kita tahu 22 bulan mereka jadi kerajaan tidak ada benda baru yang mereka buat sebaliknya mereka menghapus banyak perkara dan aset milik syarikat berkaitan kerajaan juga dijual,” katanya.

PH hampir ratifikasikan ICERD

Cubaan PH untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) menimbulkan keresahan terutama kepada bumiputera dan Islam.

Natijahnya UMNO dan Pas yang dahulu bermusuhan telah bersatu dan bergabung tenaga untuk menggagalkan rancangan tersebut dengan menganjurkan Himpunan Tolak Icerd atau juga dikenali sebagai Himpunan 812.

Ribuan peserta yang hadir pada perhimpunan penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak melepaskan peluang melihat baju ” Bantah ICERD” di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 DISEMBER 2018

Ia satu himpunan gergasi bersejarah yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia. Jika PH berkuasa semula adakah mereka akan cuba meratifikasi semula ICERD?

“Sudah tentu mereka akan cuba ratifikasikan semula ICERD. Kita tahu DAP selalu perjuangkan untuk kesaksamaan. Bagi kita tidak boleh ambil mudahlah perkara ini.

“Kalau kita membenarkan semula PH untuk memerintah semula negara isu perpaduan, isu kaum akan jadi besar dan bila mereka ratifikasi ICERD bermakna kita setuju semua kesamarataan. Di mana kita tahu tak boleh dibuat di negara kita.

“Itu yang mereka perjuangkan dan pasti mereka akan ratifikasikan ICERD dan akan perjuang semula perkara ini,” menurut Dr. Masliha.

Ribuan peserta yang hadir berarak ketika menyertai perhimpunan penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak melepaskan peluang melihat baju ” Bantah ICERD” sekitar kawasan Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 DISEMBER 2018

Langkah meratifikasi ICERD dikhuatiri akan membawa penutupan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM); penghapusan Tanah Rizab Melayu, biasiswa Bumiputera, diskaun rumah untuk Bumiputera dan syarat Bumiputera dalam tender dan lesen perniagaan serta diskriminasi ke atas Rejimen Askar Melayu Diraja.

Menurut Artikel 5 ICERD, negara yang meratifikasinya juga hendaklah menghapuskan diskriminasi kaum dalam politik jika penubuhan parti itu berdasarkan kaum.

Kelihatan seorang kanak-kanak lelaki memakai kain mafla didahi yang tertera ” Bantah ICERD” semasa berarak ketika menyertai perhimpunan penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di sekitar kawasan Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 DISEMBER 2018

Kegagalan Manifesto PH PRU-14

Paling diingati mengenai pemerintahan PH selama 22 bulan adalah kegagalan untuk menunaikan janji utama dalam manifesto PH.

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama barisan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan menunjukkan placard Manifesto Pakatan Harapan ketika bergambar pada Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, Selangor. foto SAFWAN MANSOR, 08 MAC 2018

Antara lain gagal menghapuskan tol serta melaksanakan janji melunaskan pinjam PTPTN hanya selepas cecah gaji RM4,000. Kedua-dua janji ini merupakan daya tarikan utama pengundi untuk memilih PH pada PRU ke-14 tetapi tidak dilaksanakan.

“Kalau ikut kegagalan manifesto PRU-14 bolehkah mereka jadi kerajaan lebih baik? Sudah terbukti segala janji yang mereka buat tidak dapat laksanakan.

“Malah mereka kata manifesto bukan kitab suci seolah-olah pelaksanaan tidak dapat dibuat jika jadi kerajaan.

“Kita tidak boleh janji perkara yang kita tak boleh lalukan. Jadi sebenarnya janji yang mereka buat tidak realistik. Hanya populis janji manis yang memberikan harapan palsu kepada rakyat,” menurut Dr Masliha.

Pemimpin PH yang diheret ke mahkamah

Selepas tempoh 22 bulan berkuasa sekurang-kurangnya dua anggota Kabinet PH diseret ke mahkamah.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berjalan keluar dari mahkamah selepas sambung perbicaraan kes rasuah atas empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 JUN 2022.

Kes pertama  melibatkan pemimpin Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkaitan kes rasuah terowong laut bawah tanah dan kes kedua melibatkan Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahmah yang didakwa atas kesalahan pecah amanah dan menyalahgunakan harta untuk diri sendiri.

“Bukan itu sahaja, kita boleh lihat dalam tempoh 22 bulan kita boleh lihat bagaimana peguam negara zaman PH (Tan Sri) Tommy Thomas menggugurkan 15 kes pemimpin PH sendiri.

“Sebagai contoh, SPRM pun terkejut bagaimana kes yang telah berjalan di dalam mahkamah seperti Guan Eng tiba-tiba boleh digugurkan.

“Mujur kita telah bertukar kerajaan dan kes itu berjalan semula. Kalau tidak kes itu digugurkan begitu sahaja. Masa mereka boleh buat, masa BN memerintah tak buat begitu,” tegas Dr Masliha.

Tommy Thomas

Justeru katanya, pengalaman 22 bulan pemerintahan PH membuktikan parti itu tidak boleh menjadi sebuah Kerajaan Persekutuan yang baik.

Jika rakyat inginkan Kerajaan yang kukuh, stabil dan mendapat pelaburan tinggi mereka wajar mencontohi kejayaan yang dicapai oleh Johor dan Melaka yang kini dipimpin oleh BN.

“Contoh lihat seperti Johor dan Melaka hari ini yang mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar tertinggi antara negeri-negeri lain termasuk Pulau Pinang.

“Boleh membawa masuk pelaburan kerana stabil. Kestabilan kunci penting dan negara dapat pelaburan dapat tinggi. Rakyat mahukan kestabilan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Betul lah . Kalau beri umno bn merintah tak berlaku lagi huruhara rakyat . Yang ada mulut awal2 lagi masuk dalam . Rahsia resmi kerajaan diperluaskan . Penjara juga diperluaskan hanya untok mereka yang banyak mulut macam rafizi . Orang2 macam ni dikumpul sampai mati atau sampai umno kalah .

Comments are closed.