palm oil benefits

KUALA LUMPUR – Tiga buah negara yang sebelum ini tidak pernah mengimport minyak sawit negara telah mula membeli komoditi itu sejak kebelakangan ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, negara berkenaan adalah Estonia, Republik Czech dan Hungary.

Beliau berkata, bermula Januari hingga Julai tahun ini Estonia telah mengimport 2,501 tan minyak sawit Malaysia bernilai RM20.22 juta, Republik Czech mengimport 95 tan bernilai RM0.88 juta, dan Hungary membeli 853 tan bernilai RM6.73 juta.

Jelas beliau, perkembangan positif ini membuktikan komoditi utama negara mendapat pengiktirafan dan penerimaan di peringkat global.

“Melihat kepada perkembangan semasa, saya menyambut baik situasi ini. Bagi saya, ia bukanlah perkara mustahil, setelah melihat usaha agresif dilakukan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) untuk memasarkan minyak sawit negara di peringkat global, serta menangkis mitos yang dimainkan pihak tertentu dan propaganda Barat,” katanya menerusi kenyataan.

Meskipun nilai eskport Malaysia tidak setinggi negara lain namun Zuraida berkata, ia merupakan satu langkah ke hadapan yang menggalakkan kerana berjaya menembusi pasaran baharu.

“Dengan selangkah kaki masuk ke pintu negara-negara ini, ia membolehkan kita mengembangkan lagi pasaran minyak sawit Malaysia di sana untuk tempoh jangka masa panjang.

“Maklum balas yang diterima daripada pasaran-pasaran baharu juga menunjukkan bahawa negara-negara berkenaan yakin dengan kualiti minyak sawit Malaysia kerana produktiviti yang tinggi dan ketersediaannya sepanjang tahun, serta kepelbagaian kegunaan dalam sektor makanan dan bukan makanan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast