KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang membelanjakan sekurang-kurangnya RM47 juta bagi persediaan musim tengkujuh.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan tersebut digunakan bagi membeli aset seperti bot dan pembinaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kekal di Maran.
Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan tapak pendaratan helikopter di Lipis bagi membantu memudahkan urusan penghantaran barang keperluan kepada mangsa banjir, selain penyediaan sistem pengesanan pergerakan tanah di Cameron Highlands.
“Walaupun tidak semua masalah dapat diselesaikan namun sekurang-kurangnya impak bencana itu dapat dikurangkan dengan persiapan,” katanya ketika ditemui di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.
Beliau berharap agar persediaan itu dapat membantu menyelesaikan masalah banjir yang timbul sekiranya bencana itu melanda negeri ini.
Katanya, Pahang sentiasa menambah baik kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut setiap tahun.
Sementara itu, kerajaan negeri akan meneliti cadangan dikemukakan Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah dan dalam tempoh terdekat ini.
“Banjir di negeri ini seperti program tahunan dan kadang kala berlaku dua kali setahun, jadi Pahang sentiasa bersedia,” tambahnya.
“Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak akan mengadakan taklimat bersama PKOB daerah berhubung perkara itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette