Khalid Abdul Samad.- foto IQBAL BASRI, 16 MAC 2020

KUALA LUMPUR – PKR tidak boleh menyalahkan MUDA sekiranya peristiwa pertembungan semasa Pilihan Raya Negeri Johor di Dewan Undangan Negeri Larkin berulang jika tidak mahu mengadakan perbincangan dengan parti baharu itu.

Ingatan itu diberikan oleh Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad dalam program bual bicara di Facebooknya malam tadi.

“Kalau PKR tak ada persetujuan dengan MUDA maka MUDA akan langgarlah. Dalam PRN Johor PKR dengan MUDA memang tidak capai kata sepakat.

“Lalu bila dia tidak runding dan tidak capai persetujuan maka apa yang berlaku di Larkin, akan berlakulah.

“Jadi kalau kamu rasa apa yang berlaku di Larkin itu adalah ‘bagus’ kamu tak boleh salahkan MUDA. Bila sudah tidak ada perundingan dan persetujuan maka dia langgarlah.
Adilah kalau dia nak bertanding,” katanya.

Beliau mengulas isu permohonan MUDA untuk berkerjasama dengan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Bagaimanapun ramai pemimpin dan akar umbi PKR tidak setuju dengan kerjasama tersebut antaranya kerana pertembungan calon MUDA dan PKR di Larkin yang masih berbekas di hati pengikut PKR.

“Kenapa dengan Amanah tidak berlaku pelanggaran? Kenapa dengan DAP tidak berlaku pelanggaran?

“Orang sudah ada parti termasuk parti-parti lain. Kalau kita tidak ada rundingan dan perbincangan dengan mereka. Maka mereka akan langgarlah. Kita tidak boleh marah dia kalau dia langgar, pasal kamu tidak berunding.

“Dia pun nak bertanding juga. Itu hak dia. Ini cara kita nak selesaikan duduk semeja dan bincang,” kata Khalid.

Sementara itu, Khalid berkata, tidak adil untuk mengesyaki Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai pengkhianat hanya kerana tindakan yang diambil oleh pemimpin-pemimpin Bersatu yang meninggalkan Pakatan Harapan (PH).

Khalid mendakwa, Syed Saddiq pernah ditawarkan jawatan dalam Kabinet oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas menubuhkan Kerajaan Perikatan Nasional tetapi telah ditolaknya.

“Lalu yang kita nak membuat andaian bahawa Syed Saddiq juga sama Azmin Ali? Saya pun boleh juga kata PKR sama macam Azmin Ali satu parti. Azmin lompat, lalu dengan PKR pun kita tidak boleh percaya. Kalau kita nak guna logik yang sama.

“Tak boleh. Tak adil. Yang lompat, lompat. Yang tak lompat. Tak lompat. Kita hargai yang tak lompat. Kenapa kita nak kata orang yang tak lompat sama seperti Azmin? Ini bercakap fakta atau bercakap emosi?” soal beliau.

Katanya, dengan melihat kedudukan di Parlimen mudah untuk mengenali sama ada seseorang pemimpin itu pengkhianat atau tidak.

Ini kerana di Parlimen mempunyai kerusi yang dibahagikan antara blok Kerajaan dan pembangkang.

“Yang disebut Amanah bagi (kerusi) pada MUDA, insya-Allah kita akan beri. Kalau PKR tak nak bagi maka jangan complain kalau apa yang berlaku di Larkin berulang.

“Kita kena belajar daripada pengalaman. Cara macam mana nak elak Larkin berulang kembali. Kita buat cara sama, hasilnya samalah.

“Kita tidak bincang dengan MUDA, kita bergaduh dengan MUDA maka dia langgarlah. Tidak dapat dielakkan,” katanya.

MUDA sebelum ini telah membuat pengumuman untuk bertanding di 15 kerusi Parlimen.

Sehingga kini tiada sebarang perkembangan terkini mengenai permohonan MUDA untuk bekerjasama dengan PH.-MalaysiaGazette