KUALA LUMPUR – Perdana Menteri hari ini mengumumkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada golongan M40 (M1) dinaikkan daripada 75 peratus kepada 100 peratus.
Selain itu, menurut Datuk Seri ismail Sabri, kerajaan bersetuju memberi pinjaman komputer riba kepada pelajar dari golongan berpendapatan sederhana (M40) yang meminjam dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Perdana Menteri berkata, ia merupakan satu daripada tiga pengumuman yang dibuatnya hari ini untuk pelajar universiti.
“Untuk pinjaman pada M40, kita akan naikkan kepada 100 peratus. Mahasiswa percayalah, banyak lagi yang akan diumumkan demi kepentingan pelajar sekalian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 di Stadium Pavillion Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini.
Pada 3 September lepas, kerajaan bersetuju memberi terus tablet Peranti Siswa kepada semua pelajar tanpa perlu memulangkan semula peranti itu apabila mereka tamat pengajian.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat maklum balas semasa sesi pertemuan antara Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bersama wakil Majlis Perwakilan Pelajar pada 15 Ogos supaya tablet itu diberikan terus sekiranya mendapat keputusan cemerlang.
Perdana Menteri turut memaklumkan mengenai jualan murah yang juga akan diadakan di setiap IPT mulai bulan Oktober selepas mahasiswa memasuki semula universiti.
Katanya, langkah itu adalah memandangkan kos sara hidup masih tinggi termasuk dalam kalangan mahasiswa.
“Saya dimaklumkan Menteri Pengajian Tinggi (Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad) bahawa jualan murah diadakan di setiap universiti di setiap IPT mulai bulan Oktober selepas mahasiswa memasuki semula universiti,” ujarnya.
Sementara itu, Perdana Menteri turut menyeru seluruh pelajar untuk memberikan komitmen dalam memartabatkan bahasa Melayu.
Beliau berkata, pengarah filem tersohor negara, U-Wei Saari telah memecahkan tradisi Festival Filem Antarabangsa di Moscow apabila menyampaikan ucapan dan mengumumkan nama pemenang menggunakan Bahasa Melayu di Rusia.
Ismail Sabri turut meluahkan rasa bangga apabila anak jati Muar, Johor, Sam Lim turut bertutur dalam Bahasa Melayu dalam ucapan sulungnya pada sidang Dewan Perwakilan Australia, pada 7 September lalu.
“Ini adalah satu cara untuk menyatakan kecintaan kita kepada negara. Saya juga menggunakan Bahasa Melayu ketika berucap di pentas antarabangsa,” tambahnya. – MalaysiaGazette