KUANTAN – Polis mengeluarkan sebanyak 45 saman kepada penunggang motosikal yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan dalam tempoh hanya sejam pelaksanaan Op Motosikal di kawasan lampu isyarat Sungai Marong di Bentong semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, operasi dijalankan bermula jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi itu dijalankan oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.
Menurutnya operasi berkenaan dijalankan bagi mengurangkan kadar kemalangan melibatkan motosikal di kawasan tersebut termasuk aduan yang diterima oleh pengguna jalan raya.
“Antara kesalahan yang dikesan adalah mengabaikan isyarat lalu lintas dengan cara melintas di garisan berkembar di laluan Bukit Indah menuju ke Ketari.
“Operasi seperti ini akan diteruskan bagi mengesan pesalah trafik yang sering mengambil jalan mudah untuk ke Bandar Bentong dengan cara membuat pusingan U di laluan Bukit Indah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Zaiham, pihaknya memandang serius isu penunggang motosikal yang sering mengabaikan isyarat lalu lintas yang telah ditetapkan.
Pihaknya juga telah menerima aduan dan rungutan orang ramai berkaitan penunggang motosikal yang membuat pusingan U di celah-celah kenderaan menuju ke Ketari.
Justeru operasi secara berterusan akan dijalankan bagi memastikan pengguna jalanraya khusunya dibawah pentadbiran Daerah Bentong mematuhi peraturan lalulintas yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette