KUALA LUMPUR – Jasa mendiang Tun S. Samy Vellu tidak boleh dibandingkan dengan mana-mana pemimpin lain disebabkan hasil sumbangan kepada masyarakat dan negara.
Timbalan Presiden MIC merangkap Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, negara hari ini telah kehilangan seorang tokoh pemimpin masyarakat India dan juga sebagai seorang bekas menteri.
“Hari ini kalau kita lihat MIC memiliki aset-aset seperti universiti adalah usaha Tun sepenuhnya untuk memastikan masyarakat India tidak tercicir atau terpinggir daripada arus pembangunan negara,” katanya kepada ketika ditemui selepas melakukan penghormatan terakhir kepada mendiang di kediaman keluarga Samy di sini hari ini.
Saravanan antara pemimpin terawal berada bersama ahli keluarga mendiang iaitu isterinya Toh Puan Indhrani, anak lelakinya, Datuk Seri S.Vell Paari dan juga menantunya, Datin Seri Shaila Nair.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.
Mantan Presiden MIC itu yang berusia 86 tahun telah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya sekitar pukul 3.30 pagi hari ini kerana sakit tua.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah memberitahu, setiap momen beliau sepanjang 24 tahun bersama Samy baik dalam parti serta secara peribadi merupakan saat yang tidak boleh dilupakan.
“Saya memulakan hidup sebagai manusia biasa dan memasuki politik sebelum dididik dan dibesarkan oleh Tun sehingga menjadi insan yang berguna dan juga berjasa kepada masyarakat hari ini dan kesedihan saya tidak boleh diterjemahkan dalam kata-kata,” jelas. – MalaysiaGazette