Shanidze Nodar

KOTA TINGGI – Operasi mencari dan menyelamat seorang kru kapal tangki warga Georgia yang hilang 11 September lalu telah ditamatkan pukul 7.30 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam  Zakaria berkata,  Operasi Carilamat dengan keluasan sektor pencarian seluas 747.22 batu nautika persegi telah ditamatkan dengan mengambil kira faktor tolakan arus.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan mangsa telah hanyut ke perairan jiran di kepulauan Anambas, Indonesia.

Pihak Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia juga telah dimaklumkan dan akan berkongsi maklumat sekiranya terdapat penemuan mangsa di perairan republik berkenaan.

Pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru juga merakamkan penghargaan kepada pihak Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin serta komuniti maritim yang terlibat di dalam Operasi Carilamat ini.

Pada Isnin  lalu, Shanidze Nodar, 22, warga Georgia yang berkerja sebagai kelasi di sebuah kapal tangki disyaki telah terjun laut di kedudukan 43.7 batu nautikal timur laut Tanjung Sedili.

Mangsa  dilaporkan dilihat kali terakhir berada atas kapal pada 10 September lalu berpakaian baju dan berseluar pendek berwarna hitam.- MalaysiaGazette