BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima sumbangan dana amal jariah daripada Etiqa General Takaful Berhad bernilai RM297,500 bagi pembinaan Telaga Tiub dan tangki air di Masjid As-Syakirin, Kampung Baru Lanjut, Salak Tinggi Sepang dan pembelian peralatan perubatan iaitu satu unit mesin ultrasound dan tiga unit mesin
cardioc monitor untuk Pusat Kesihatan UKM.
Tajaan itu adalah hasil kerjasama strategik antara UKM melalui Yayasan Canselor dan Fakulti Sains dan Teknologi dengan syarikat takaful tersebut.
Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Datuk Dr. Norazah Mohd Nordin berkata, kerjasama itu bakal memberikan manfaat kepada masyarakat khususnya warga UKM sesuai dengan naratif baharu UKM sebagai Universiti Watan.
”Kerjasama ini membolehkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang di UKM menyumbang ilmu, kemahiran dan pengalaman mereka.
”Sebagai contoh, Fakulti Sains dan Teknologi khususnya Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar mempunyai sejumlah tenaga pakar terlatih dalam bidang air yang mampu berganding bahu bersama pakar lain seperti kualiti air, isu pengaratan dan jaminan kesihatan kepada pengguna,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Etiqa kepada UKM.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Etiqa General Takaful Berhad merangkap Ahli Jawatankuasa Syariah Etiqa General Takaful Berhad, Prof. Datin Dr. Rusni Hassan berkata, Etiqa Takaful amat peka akan kepentingan menjaga amanah yang diberikan oleh pemegang sijil, dan juga kepentingan untuk mengeluarkan zakat kepada mereka yang memerlukannya.
Beliau berharap sumbangan ini mampu memberi manfaat buat 12,000 orang penduduk setempat sekitar Masjid As-Syakirin, Kampung Baru Lanjut, Salak Tinggi Sepang dan juga 35,000 orang Warga UKM yang terdiri dari siswa siswi dan kakitangan UKM. – MalaysiaGazette