Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyempurnakan suai gambar terakhir dalam ilustrasi perpaduan itu dengan gambar Selamat Hari Malaysia di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Rompin, hari ini.

ROMPIN – “Jauhkanlah sifat suka mempersenda, menyindir, menghina dan mencari kesalahan pihak lain yang mana pada akhirnya boleh merosakkan perpaduan yang sudah kita ada.”

Itu nasihat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sempena sambutan Hari Malaysia yang disambut hari ini.

Menurutnya, setiap rakyat perlu mensyukuri nikmat diperoleh sejak pembentukan Malaysia sejak tahun 1963 lalu.

“Kita kena sedar kesan buruk sekiranya asyik bersengketa antara satu sama lain serta mengekalkan kehidupan berpuak-puak yang melampau dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika majlis perasmian sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Teguh Bersama’ di sini hari ini.

Hadir sama Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Beliau dalam ucapannya juga menasihati rakyat agar menjauhi unsur yang boleh merosakkan perpaduan serta menyaran mereka mengamalkan kehidupan harmoni dan bertolak ansur dalam negara ini.

Selain itu, katanya, sejarah telah menunjukkan betapa pentingnya setiap dari rakyat mempelajari mengenai Hari Malaysia lebih-lebih lagi sejarah pembentukan negara.

“Bila ada penghayatan tentang perjuangan, anasir buruk yang hadir bagi tujuan untuk melaga-lagakan masyarakat tidak dapat merebak.

“Fitnah dan kejahilan adalah seumpama minyak dengan api. Jika tidak dipadam salah satunya, sudah pasti kita akan binasa,” ujarnya.

Justeru katanya, menerusi kempen kesedaran sejarah perlu didedahkan kepada anak bangsa sebagai ubat melawan virus fitnah dan kejahilan.

Sebelum itu kemeriahan sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang dimeriahkan dengan persembahan tarian menyusun suai gambar (puzzle) gergasi.

Tarian yang berdurasi hampir 10 minit  merupakan koleksi medley lagu ‘Kau Datang’ itu dipersembahkan oleh 18 penari kumpulan Kesenian bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang menggayakan busana pelbagai kaum dan etnik dalam negara.

Wan Rosdy menyempurnakan suai gambar terakhir dalam ilustrasi perpaduan itu dengan gambar Selamat Hari Malaysia di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Rompin hari ini.- MalaysiaGazette