Mangsa didapati meninggal dunia telah mengalami kecederaan parah di sebelah rusuk kiri akibat tembakan oleh suaminya sendiri dalam kejadian di Jerantut, Pahang hari ini

KUANTAN – Akibat bertikam lidah berkenaan isu tanah, seorang suami nekad membunuh isterinya dengan menembak mangsa menggunakan senapang patah di Kampung Machang Raja Labu,  Jerantut dekat sini hari ini.

Selepas itu, suspek dipercayai menembak dirinya sendiri, kata Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Menurutnya, dua orang saksi yang memberi keterangan berkata, mereka mendengar dua das tembakan dalam  insiden tragis itu melibatkan pasangan suami isteri warga emas itu.

Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

Suami terbabit yang berusia 73 tahun ditemui maut di bahagian dapur rumah dalam keadaan terduduk bersama selaras senapang patah miliknya.

Manakala isterinya berusia 67 tahun pula didapati meninggal dunia semasa menerima rawatan setelah mengalami kecederaan parah di sebelah rusuk kiri akibat tembakan.

Menurut Ramli, saksi utama merupakan jiran sebelah rumah mangsa telah mendengar bunyi tembakan dan jeritan orang minta tolong semasa kejadian dan terus bergegas ke rumah mangsa bagi memberi bantuan.

Difahamkan, kedua-dua mangsa merupakan bekas pesara kerajaan di mana suami mangsa mempunyai lesen senjata api iaitu kategori lesen menembak hidupan liar yang menganggu tanaman.

“Saksi juga membawa isteri mangsa ke Hospital Jerantut Pahang untuk mendapatkan rawatan segera dan perlu dirujuk ke Hospital Pakar Temerloh  untuk pemeriksaan lanjut namun meninggal dunia pada pukul 11.15 pagi tadi.

“Sebelum meninggal dunia, mangsa memberitahu suaminya yang menembaknya menggunakan senapang,” katanya.

Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 kanun Keseksaan di mana siasatan melibatkan unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dan Unit Patalogi Hospital Tengku Ampuan Afzan bagi membuat pemeriksaan teliti di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette