SKUDAI – Waris Allahyarham Muhammad Najmi Abd. Rahim, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang meninggal dunia akibat penyakit Ischaemic Bowel Mac dua tahun lalu boleh menerima pampasan takaful.
Allahyarham, penuntut tahun dua, Diploma Sains Komputer adalah penerima tajaan pembiayaan pendidikan Yayasan Bank Rakyat (YBR) sejak 2017 dan pampasan sebanyak RM2,564 diterima ibunya hari ini.
Pampasan itu adalah tuntutan takaful yang telah diterima bagi perlindungan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) berjumlah RM12,500 bagi sepanjang pengajian di peringkat diploma.
Lebihan pampasan itu diserahkan kepada ibu Allahyarham, Siti Norzah Mat Daris, 53, oleh pengurusan YBR dalam kunjungan ke rumahnya bagi menyampaikan lebihan pampasan itu di Taman Impian Emas, Skudai, Johor.
Turut hadir, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Siti Norzah, guru Sekolah Menengah Teknik (SMT) Johor Bahru menerima baki pampasan tersebut, memandangkan pihak yang layak iaitu suaminya, telah meninggal dunia pada Januari 2020.
Beliau yang menanggung tiga anak yang masih bersekolah berkata, bantuan diterima itu sedikit sebanyak melegakan bebanan keluarganya akibat kehilangan suami dan anak dalam jarak dua bulan pada tahun itu.
“Arwah Muhammad Najmi sering mengadu sakit perut sebelum doktor mengesahkannya menghidapi penyakit Ischaemic Bowel.
“Arwah adalah harapan kami sekeluarga selepas suami meninggal, tetapi kami reda dia juga turut meninggalkan kami, kerana Allah lebih menyayanginya,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Jabatan Penajaan YBR, Khairul Na’im Arifin berkata, Allahyarham merupakan antara 6,408 pelajar yang berjaya menerima tajaan PPBU YBR.
Pampasan itu merupakan insurans berkelompok penerima tajaan PPBU YBR yang disediakan bagi setiap pelajar.
Allahyarham yang merupakan pelajar tahun dua, Diploma Sains Komputer meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah semasa menerima rawatan sakit perut yang dialaminya. – MalaysiaGazette