Pengurus Bahagian Kejenteraan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Mohammad Fauzie Tamin bersama jentera JX Straddle yang dipamerkan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2022.

UNJURAN Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjangkakan penduduk di Malaysia akan mencecah angka 41.5 juta orang menjelang 2040. Angka ini menunjukkan dengan jelas akan berlaku peningkatan ke atas permintaan makanan dan memberi kesan terhadap rantaian nilai industri pertanian dan sekuriti makanan negara.

Jadi, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI) perlu bertanggung jawab sepenuhnya dalam memastikan bekalan makanan negara stabil dan mencukupi bagi menampung keperluan rakyat untuk jangka masa panjang. Perancangan dan tindakan komprehensif dalam sektor pertanian perlu dirancang bagi memastikan landskap sosioekonomi negara terus memberi impak positif dan kesejahteraan rakyat terus meningkat.

Justeru itu, MAFI amat menggalakkan penglibatan ogropreneur muda dalam sektor agromakanan. Kerjasama antara MAFI; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI); Institut Pengajian Tinggi dan agensi-agensi yang berkaitan dipercayai dapat mengubah landskap pertanian negara ke arah pertanian digital.

Golongan agropremeur muda ini dipercayai berkemahiran mengaplikasikan penggunaan teknologi digital seperti Internet of Things (IOT), Global Positioning System (GPS), Big Data Analysis (BDA) dan Artificial Intelligence (AI) dalam meningkatkan produktiviti pertanian. Tambahan lagi, menurut Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank, Aminuddin Amenon, sektor agromakanan memerlukan penglibatan golongan muda yang
berkemahiran bagi merebut peluang yang bermanfaat dan mampu mencari idea baharu serta berkecimpung dalam bidang agromakanan.

Kemahiran keusahawanan dilihat menjadi satu keperluan dalam arus perubahan dunia keusahawanan yang semakin dinamik dan mencabar pada masa kini. Rentetan daripada itu, dalam konteks ekonomi berasaskan pengetahuan dan dunia tanpa sempadan, sektor agromakanan perlu dibanjiri ogropreneur muda yang memiliki kemahiran keusahawanan. Kemahiran-kemahiran keusahawanan seperti kemahiran pengurusan, pemasaran, pengeluaran operasi, kewangan, perakauanan, sumber manusia, komunikasi, teknolgi komunikasi dan maklumat perlu dikuasai bagi membolehkan peluang peniagaan diterjemahkan kepada idea perniagaan yang berdaya maju dan seterusnya menempah kejayaan dalam bidang keusahawanan pertanian.

Jadi, bagi menjamin Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (2021-2025) dan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030) berjaya dikecapi, kemahiran keusahawanan dalam kalangan agropreneur muda di Malaysia perlu ditingkatkan ke arah kemahiran teknologi digital.

Oleh: Dr Atikah Nor Johari
Ketua Jabatan Perniagaan/Pensyarah Kanan
Fakulti Perniagaan dan Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis