Gambar dari media sosial yang menunjukkan kanak-kanan didera cuba menyelamatkan diri.

AMPANG – Sepasang suami isteri yang diberkas oleh polis semalam direman tujuh hari  kerana disyaki mendera dua anak saudaranya di sebuah kondominium di Taman Cahaya, di sini.

Reman terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan di Mahkamah Majistret Ampang Jaya di sini pagi tadi.

Suspek wanita dan suaminya masing-masing berusia 29 dan 33 tahun kini disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan polis.

Semalam, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak  mengesahkan insiden itu berkata, kedua-dua suspek telah ditahan pada kira-kira 6 petang.

Mohamad Farouk menambah, suspek wanita berkenaan merupakan adik kepada ibu mangsa telah menjaga dua adik-beradik itu sejak dua tahun selepas bapa kepada kanak-kanak itu meninggal dunia dan kakaknya tidak mahu menjaga kanak-kanak itu dan menyerahkannya kepada suspek untuk penjagaan.

Dalam kes semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang berada seorang diri di dalam rumah, cuba terjun untuk melarikan diri dari tingkap rumahnya di tingkat empat sebuah kondominium di Ampang di sini.

Turut ditemui adik perempuan kepada kanak-kanak berkenaan yang berusia enam tahun, juga mempunyai kesan-kesan kecederaan lebam di bahagian kaki, tangan dan belakang badan juga dipercayai akibat penderaan tersebut.

Susulan itu, pasukan bomba yang bergegas ke lokasi bertindak atas panggilan orang awam berjaya menyelamatkan mangsa dengan memecah masuk ke dalam rumah dengan bantuan pihak polis.

Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana telah menganiayai kanak-kanak sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.-MalaysiaGazette