Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap semasa hadir ke perasmian pembukaan Persidangan Antarabangsa Kosmopolitan Islam dan Muktamar ABIM Ke-51 di Bangi Avenue Convention Centre, Kajang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2022.

BANGI – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan tindakan Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad yang suka kafir mengkafirkan orang lain.

“Saya tidak setuju andaian kalau menyinggung kafir oleh pimpinan Pas dan saya tidak setuju cara Tun Mahathir menjawab mengkafir yang lain.

“Ini bukan tradisi budaya Islam dan tidak boleh dipertahankan. Ada yang terima tidak sanggup menegur.

“Mana Mufti Majlis Agama, tidak boleh tegur ke bab ni?, soal beliau dalam ucapan di Muktamar Sanawi dan Persidangan Antarabangsa Kosmopolitan Islam anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), hari ini.

Semalam, bekas Perdana Menteri itu mendakwa Pas yang di pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang kini adalah parti kafir berikutan tindakannya bekerjasama dengan UMNO dan parti bukan Islam demi memperoleh kedudukan.

Sehingga kini Pas kata Mahathir tidak menarik balik dakwaan yang dibuatnya suatu ketika dulu, bahawa orang yang tidak bersama parti itu adalah kafir, maka dengan tindakan kerjasama terbabit, ia menggambarkan bahawa mereka bukan lagi parti Islam.

“Parti Pas ini kita dapati tindakan mereka pelik sikit kerana ia berbeza dengan pendirian mereka dulu…dahulu Pas kata UMNO parti kafir dan macam-macam tuduhan dibuat.

“Tapi tanpa menafikan bahawa UMNO itu kafir, mereka bekerjasama dengan kafir, …dulu berjuang untuk Islam dan tidak boleh bekerjasama dengan kafir sebab akan jadi kafir.

“Tapi mereka bekerjasama dengan kafir, jadi mengikut tafsiran Pas, Pas sekarang ini parti kafir selagi mereka tak hapuskan dakwaan yang dibuat bahawa orang yang tidak bersama PAS itu adalah kafir,” katanya semalam ketika merasmikan Konvensyen Pejuanita Malaysia, ‘Aspirasi Wanita Merdeka: Penentu Hala Tuju Negara’.

Anwar pada Khamis menyatakan Pas yang dipimpin Abdul Hadi ketika ini berbeza dengan pendekatan yang dibawa bekas pemimpin parti itu, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Justeru itu, Anwar berkata, PH sebagai gabungan pembangkang tidak akan mengambil kisah mengenai dakwaan itu dan menganjurkan perkara itu boleh menimbulkan kacau bilau di masa akan datang.

“Pandangan kita jelas hentikan naratif yang merosakkan. Tumpu kepada dasar dan jangan serang soal itu kerana akan menimbulkan keadaan kacau bilau yang tak mungkin kita kawal.

“Pendirian saya dan arahan kita kepada PKR dan PH jangan layan dan harus bantah sikap samada tidak jelas kafir mengkafir ataupun memberikan pandangan kearah itu. Ia tidak sihat sama sekali,” katanya dalam sidang media pada program yang sama.

Untuk rekod, Abdul Hadi pada April 1981 melalui Amanat Haji Hadi dikatakan mengkafirkan UMNO sehingga menyaksikan orang Melayu ketika itu berpecah-belah.

Bagaimanapun pada 2019, Pas mengadakan kerjasama dengan UMNO dibawah semangat Muafaakt Nasional (MN). – MalaysiaGazette