Wan Rosdy Wan Ismail berucap sempena sambutan Hari Orang Asli Sedunia Tahun 2022 di Perkampungan Orang Asli PROSDET Pantos, Kuala Lipis, hari ini. Kredit : FB Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan Pahang meluluskan peruntukan khas berjumlah RM1.688 juta bagi  bakul makanan kepada masyarakat orang asli di seluruh negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif ini  sebagai tanda ingatan pentadbiran kerajaan negeri kepada seluruh masyarakat orang asli.

“Kerajaan Negeri sentiasa beriltizam tinggi untuk menggiatkan usaha ke arah memperkasakan pembangunan masyarakat orang asli di Pahang demi mencapai kesejahteraan dan kemajuan bersama,” katanya menerusi kenyataan.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai menyambut dan meraikan Hari Orang Asli Sedunia Tahun 2022 di Perkampungan Orang Asli PROSDET Pantos, Kuala Lipis, hari ini.

Bertemakan ‘Orang Kita Di Hati, Kemakmuran Negeri Dikongsi’ ini katanya, menggambarkan keseriusan kerajaan negeri dalam usaha untuk mengangkat kedudukan masyarakat orang asli di negeri ini ke tahap lebih baik.

Masyarakat orang asli di Negeri Pahang terdiri daripada lapan suku dua kaum iaitu Jakun, Semelai, Semaq Beri, Jahut, Temuan, Bateq, Semai dan Temiar.

Manakala tarikh sebenar sambutan Hari Orang Asli Sedunia jatuh pada 9 Ogos pada setiap tahun. – MalaysiaGazette