GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang mencadangkan untuk menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang susulan anggapan sebilangan besar rakyat negeri itu bahawa parti itu masih bersama Barisan Nasional (BN), kata Pengerusinya, Oh Tong Keong.
Justeru, beliau meminta jawatankuasa pusat parti itu membuat pertimbangan untuk berbincang cadangan tersebut dengan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN).
“Ini mungkin juga boleh menjadi punca penolakkan rakyat pada Gerakan pada PRU15,” katanya dalam satu kenyataan selepas Persidangan Perwakilan Parti Gerakan Pulau Pinang yang dirasmikan oleh Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, di sini, hari ini.
Gerakan keluar daripada BN susulan kekalahan gabungan itu dalam PRU14 pada 2018 dan menyertai PN pada Februari tahun lepas.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Lau berkata, parti itu percaya PRU15 kemungkinan tidak diadakan tahun ini kerana kesuntukan masa dan beberapa negeri di bawah pimpinan Pas dan Pakatan Harapan (PH) tidak menyokong pembubaran Parlimen.
Semalam, beliau mengumumkan, parti itu berhasrat untuk bertanding di lebih 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lebih empat kerusi Parlimen di Pulau Pinang pada PRU15 nanti. – Bernama