Perwakilan Melaka, Maznah Baharuddin Foto MUHD NA'IM, 18 SEPTEMBER 2022.

SEREMBAN – Seorang perwakilan wanita bangkit menegur semua yang hadir pada Konvenysen Nasional 2022, Parti Amanah Negara pagi ini agar tidak merendah-rendahkan kaum wanita.

Perwakilan Melaka, Maznah Baharuddin mencelah selepas dua pembahas selesaikan membahaskan usul Hak Warganegara Malaysia Mewariskan Kewarganegaraan Kepada Anak Yang Lahir Di luar Negara.

“Saya nak tanya, tiga perkara ajal maut, jodoh pertemuan dan rezeki, Allah yang tentukan. Boleh ke tentukan di mana kita nak melahirkan anak kita.

“Ya, kita memilih tadi betul, tapi ketentuan Allah kita tak tahu. Sebab itu perbezaan gender amat penting di Malaysia.

“…bila air mata dikaitkan dengan wanita, bila lemah dikaitkan dengan wanita, bila emosi dikaitkan dengan wanita…apa lelaki tidak ada emosi? tidak ada kelemahannya. Tolong jangan dikaitkan kelemahan dengan wanita,” katanya.

Terdahulu, usul tersebut dibahaskan oleh dua pembahas dari Wilayah Persekutuan dan Selayang.

Bagaimanapun, speaker yang mengendalikan konvensyen, Yuhaizad Abdullah dilihat mempertikai pembahas dari Selayang apabila menyifatkan perbahasannya seolah-olah tidak menyokong usul yang dibawakan.

Beliau kemudiannya berkata, tidak mahu memanjangkan usul berkenaan untuk dibahas dan meneruskan pembentangan kepada usul yang lain. – MalaysiaGazette