Tinjauan MalaysiaGazette mendapati salah seeorang penduduk di Kampung Batu Hitam, Nurul Sabrina Aziz, 21 tahun, kelihatan mengangkut air dari tangki air statik yang dibekalkan oleh pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), hari ini

KUANTAN – “Belum tiba waktu gangguan bekalan air, kami lima hari sudah gelepar tiada air,”.

Itulah luahan salah seorang penduduk Perkampungan Batu Hitam Kuantan, Azli Abdul Rahman, 45, yang tidak menyangka bekalan air terputus lebih awal daripada yang  dijadualkan pada 20 September ini.

Sebanyak 23 keluarga di kawasan perumahan tersebut yang mengalami masalah sama sejak Khamis lalu tidak sempat membuat persiapan awal apabila mengalami tekanan air rendah sebelum terputus bekalan sejak lima hari lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu (berbaju biru) menyerahkan sumbangan air mineral kepada salah seorang penduduk Perkampungan Batu Hitam, Azli Abdul Rahman yang mengalami gangguan bekalan air di Kuantan, Pahang.

Kata Azli, wakil penduduk di kawasan berkenaan menghubungi Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) pada Jumaat lalu meminta bekalan air dihantar dan mereka mula menerima tangki statik bermula Ahad lalu.

“Kami terpaksa minta bantuan pihak Paip kerana sudah berdepan dengan ketiadaan air sebelum 20 September kerana ramai yang tidak sempat menyimpan air lagi.

“Tindakan Paip sangat membantu dan meletakkan tangki statik di setiap kawasan terjejas sejak Ahad lalu dan ini sedikit sebanyak dapat membantu penduduk,” kata Azli.

Afzainizam Zainuddin

Bagi Afzainizam Zainuddin, 47, berkata, beliau berhadapan dengan masalah tekanan air rendah pada petang Khamis lalu sebelum gangguan air berlaku.

Katanya, lebih merunsingkan apabila gangguan bekalan air berlaku selama 10 hari.

“Walau pun situasi ini sudah dua tiga kali terjadi pada tahun ini, namun keadaan pada kali ini dianggap mengejut kepada semua penduduk terjejas.

“Kami tidak sempat simpan kerana masalah ketiadaan air berlaku lima hari lebih awal dari jadual notis diterima. Jadi dalam masa Khamis sehingga hari ini, kami terpaksa bergantung kepada bekalan yang tinggal dari tangki sahaja.

“Tetapi situasi kali ini paling mengejut, sebelum simpan air dah tiada,” katanya.

Duriyah Abdullah menyediakan tong, baldi dan besen bagi menadah air untuk kegunaan harian sepanjang gangguan bekalan air.

Manakala Duriyah Abdullah, 61, berkata, baki air dalam tangki hanya cukup untuk mengambil wuduk dan beliau memerlukan simpanan air lain untuk kegunaan harian.

“Tong, baldi dan besen telah dikumpulkan di satu tempat bagi memudahkan air disimpan sepanjang ketiadaan air untuk kegunaan basuhan dan memasak.

“Air sudah tidak mampu bertahan selepas lebih empat hari menggunakan air, jadi kena usahakan juga untuk simpan air,” katanya.

Hasmah Awang

Sementara itu, Hasmah Awang, 68, mencadangkan agar penghantaran bekalan air melalui lori tangki ke rumah penduduk terjejas dilakukan secara berjadual dan menyalurkannya ke kediaman golongan yang berusia sepertinya.

“Macam saya yang sudah berusia ini tidak mampu untuk mengangkut air kerana tangki air diletak terlalu jauh, jadi minta lori tangki membantu menyalurkan air di hadapan rumah supaya tidak terlepas menyimpan air,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast