Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang menubuhkan sebuah badan berkanun dikenali Pahang Orang Asli Corporation (Oraco) bagi membantu masyarakat Orang Asli.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pahang merupakan negeri pertama yang mewujudkan badan berkanun bagi membantu golongan itu.
Jelasnya, Oraco merupakan inisiatif untuk memperkasa masyarakat Orang Asli supaya lebih komprehensif selain berperanan membantu menjaga kebajikan dan memperkasakan ekonomi mereka.
“Oraco juga berfungsi untuk memastikan perancangan, pengurusan dan pemantauan aktiviti ekonomi yang dijalankan di atas tanah masyarakat Orang Asli boleh dimanfaatkan mereka dengan sebaiknya.
“Aspirasi penubuhan Oraco diilhamkan oleh kerajaan negeri pada penghujung tahun 2020 rentetan kekerapan menerima aduan berkaitan dengan tanah masyarakat Orang Asli di negeri Pahang,” katanya.
Tambah Wan Rosdy, sebanyak RM1 juta diperuntukan kepada Oraco bagi memulakan operasi dan menjalankan programnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa beriltizam tinggi untuk menggiatkan usaha ke arah memperkasakan pembangunan masyarakat Orang Asli demi mencapai kesejahteraan dan kemajuan bersama.
Masyarakat Orang Asli di negeri ini terdiri daripada lapan suku kaum iaitu Jakun, Semelai, Semaq Beri, Jahut, Temuan, Bateq, Semai dan Temiar.- MalaysiaGazette