Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hadir Program Belia Berinovasi: Aspirasi Keluarga Malaysia anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di MRSM Bentong, Pahang hari ini.

BENTONG – Program Belia Berinovasi: Aspirasi Keluarga Malaysia anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) merupakan inisiatif memberi pendedahan awal mengenai harta intelek kepada kumpulan sasar sektor pendidikan iaitu guru dan pelajar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihak sekolah perlu mengambil langkah proaktif untuk memfailkan permohonan harta intelek di MyIPO bagi inovasi yang dihasilkan.

“Melalui perkhidmatan yang disediakan oleh MyIPO, permohonan harta intelek boleh dibuat secara manual mahupun atas talian iaitu menerusi Sistem IP Online.

“Pihak sekolah perlu memanfaatkan tawaran Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 bagi memfailkan permohonan cap dagangan, paten, reka bentuk perindustrian dan hak cipta,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong di sini hari ini.

Dalam program yang sama, ia melibatkan kira-kira 700 orang pelajar dari MRSM seluruh negeri Pahang dan daerah Bentong.

Program itu turut mendapat kerjasama Bahagian Pendidikan Menengah MARA dan Pejabat Pendidikan Daerah Bentong. – MalaysiaGazette