Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff.

KUANTAN – Kes penipuan jenayah komersil di Pahang bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini melibatkan kerugian lebih RM33.8 juta.

ia direkodkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang, kata Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff.

Ia, katanya, melibatkan sebanyak 1,334 kertas siasatan yang dibuka dalam tempoh tersebut.

Tambah beliau, JSJK Pahang juga telah melakukan sebanyak 154 tangkapan dalam Op Mule Khas Bil. 01/2022 sepanjang bulan Julai tahun ini.

“Ini menunjukkan kesedaran orang ramai perlu didedahkan lagi dengan trend-trend terkini kes kes jenayah komersil menerusi aktiviti-aktiviti yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Perhimpunan Bulanan di Perkarangan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Razak turut memaklumkan terdapat peningkatan lebih RM28 juta nilai rampasan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang bagi tempoh yang sama.

“PDRM Kontinjen Pahang telah merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM31 juta tahun ini berbanding RM3 juta bagi tempoh sama tahun lepas,” jelasnya.

Menurut Abdul Razak, bagi tempoh sama, Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang juga melaporkan peningkatan jumlah kemalangan jalan raya iaitu 14,674 kes berbanding 9,013 tahun lepas.

“Jumlah kemalangan maut adalah sebanyak 250 kes melibatkan 294 kematian berbanding sebanyak 181 kes melibatkan 195 kematian bagi tahun lepas,” katanya.

Dalam ucapannya, Abdul Razak menyeru pegawai kanan dan rendah polis agar memiliki keyakinan diri yang tinggi serta mampu membuat keputusan yang betul tanpa menjejaskan tatacara kerja dan peraturan.

Tambahnya, tanggungjawab serta amanah yang diberikan sebagai penjaga keamanan dan keselamatan perlu terus dikekalkan, diperkemas serta dipertingkatkan.-MalaysiaGazette