KUALA LUMPUR – Remaja yang menerima tawaran belajar di bawah Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) 2022 gembira dan teruja kerana berpeluang melanjutkan pengajian ke luar negara.
Salah seorang pelajar, Kay Irdeena Kamarul Zaki, 18, yang mengikuti jurusan ekonomi bersyukur kerana dengan tajaan itu dia bakal menjejakkan kaki ke Amerika Syarikat (AS).
“Saya akan ke AS, jadi saya sangat bersyukur dengan tajaan ini kerana ibu bapa saya tak perlu terbeban dengan tajaan Petronas ini” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah PESP 2022 yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Tambahan lagi, kata Qi Irdina, mereka diberikan jaminan untuk berkhidmat kepada negara dan Petronas sebaik sahaja tamat pengajian.
Bagi salah seorang lagi pelajar tajaan PESP 2022, Muhammad Danial Adam Kamarul Affendi, 18, dia berbangga kerana menjadi salah seorang pelajar menerima biasiswa dari Petronas.
“Saya tahu ini bukan peluang yang mudah jadi saya amat berbangga dan saya akan menggunakan peluang ini dengan sebaiknya.
“Tajaan ini sangat-sangat membantu kerana yuran bukannya murah dan dapat ditaja oleh Petronas adalah satu peluang yang baik dan saya akan menggunakannya dengan sebaik mungkin.” kata pelajar Jurusan Kimia Gunaan itu.
Dalam pada itu, Neelasha, 18, pelajar jurusan pemasaran yang akan melanjutkan pelajaran di United Kingdom (UK) juga tidak menyangka akan menerima program tajaan Petronas.
“Tajaan ini dapat meringankan beban keluarga sebab kalau harap keluarga memang saya tak mampu menghantar saya melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi dengan tajaan Petronas saya dapat belajar ke luar negara. Jadi saya sangat bersyukur,” ujarnya.
Untuk rekod, pada tahun ini, seramai 600 pelajar menerima tawaran belajar di bawah PESP 2022 dengan nilai lebih RM340 juta.
Pada majlis yang sama, Ismail Sabri menasihatkan pelajar terpilih itu supaya belajar bersungguh-sungguh dan menghargai sumbangan Petronas membantu anak golongan kurang berkemampuan melanjutkan pelajaran ke luar negara. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: