Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan anugerah pelajar cemerlang tajaan Petronas pada Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Petronas menaikkan dua kategori elaun untuk pelajar di bawah tajaannya melibatkan 2,267 individu berkuat kuasa serta merta.

Berita gembira itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) 2022 di sini hari ini.

Kenaikan pertama adalah elaun buku dan peralatan belajar daripada RM1,000 kepada RM1,500 untuk pelajar di Malaysia dan tambahan RM500 bagi pelajar di luar negara.

Manakala kenaikan kedua pula  adalah elaun kepada pelajar yang baru menerima penajaan PESP, elaun induksi (Onboarding Allowance) akan dinaikkan daripada RM4,500 kepada RM5,000.

Jelas Ismail Sabri, kenaikan kedua-dua elaun berkenaan dilaksanakan selepas mengambil kira kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Bantuan ini diharap dapat meringankan beban pelajar dan ibu bapa seterusnya memudahkan proses pembelajaran pelajar,” katanya ketika menyampaikan ucapannya.

Terdahulu Perdana Menteri berkata, Program PESP telah melahirkan tenaga kerja profesional, mahir dan berketrampilan dalam kalangan generasi muda yang dilihat selari dengan sasaran Negara Maju Berpendapatan Tinggi seperti mana yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan penerima PESP supaya tidak mensia-siakan peluang yang diberikan oleh Petronas menerusi tajaan-tajaan yang diberikan  melalui keputusan yang cemerlang dan kembali menyumbang kepada negara.

“Selain melahirkan pelajar yang cemerlang, usaha yang dilaksanakan oleh Petronas ini juga adalah untuk memupuk nilai-nilai keperibadian yang unggul dan dilengkapi dengan sifat-sifat kepemimpinan,” tambahnya.

Untuk rekod, seramai 600 pelajar ditawarkan belajar di bawah Program PESP melibatkan nilai tajaan lebih RM340 juta iaitu bilangan tajaan pelajar tertinggi sepanjang pelaksanaan program ini.

Daripada jumlah ini, hampir 80 peratus merupakan golongan kurang berkemampuan. – MalaysiaGazette