KUALA LUMPUR – Seorang pakar psikiatri memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa Bella membuat isyarat kedua-dua tangannya diikat dan menggosokkan mata sambil menyebut ‘cili’ semasa remaja perempuan sindrom Down itu ditemu bual tahun lepas.
Dr Wan Asyikin Wan Azlan, 37, yang sebelum ini berkhidmat di Hospital Tunku Azizah berkata, Bella membuat isyarat itu secara sukarela ketika beliau bersama dua lagi individu menemu bual remaja tersebut di sebuah bilik di hospital berkenaan pada 30 September 2021.
“Ketika itu saya bertanya kepada Bella sama ada dia membuat air panas atau sejuk dan remaja itu terus membuat isyarat tangannya diikat dan menyebut ‘panas.’
“Bella juga menunjukkan matanya dan menyebut ‘cili’ tanpa ditanya,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad pada perbicaraan kes Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Ditanya Azizah bagaimana Bella boleh menyebut ‘panas,’ Dr Wan Asyikin yang kini bertugas sebagai pakar psikiatri di Hospital Selayang menjawab ‘seingat saya, Bella boleh sebut panas.
“Semasa saya bertanya kepada Bella siapa yang membuatnya dan Bella menyebut ‘Benun’ (Siti Bainun). Saya ada bertanya soalan kepada Bella sama ada dia mahu berjumpa dengan Bainun (Siti Bainun) dan balik ke Rumah Bonda namun Bella menggelengkan kepalanya,” kata saksi pendakwaan ke-17 itu.
Beliau berkata, meskipun Bella boleh menjawab soalan namun dia mempunyai ketidakupayaan intelektual dan remaja perempuan itu masih boleh menguruskan diri sendiri serta berkawan dengan kanak-kanak lain.
“Kebanyakan soalan yang kami tanya Bella tidak boleh jawab dan soalan-soalan spesifik tidak ditanya pada Bella, hanya soalan-soalan mudah sahaja,” katanya.
Saksi itu berkata, Bella turut memaklumkan bahawa dia pandai membuat kerja rumah termasuk melipat dan menjemur baju semasa berada di rumah penjagaan tersebut.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun, Dr Wan Asyikin bersetuju dengan cadangan bahawa beliau tidak pernah berjumpa dan berbual dengan tertuduh.
Saksi itu juga bersetuju bahawa beliau tidak pernah melihat Bella mengemop, mengemas, menyapu dan menyediakan air minuman selain mengakui ada perkataan yang disebut Bella sukar difahami kerana remaja tersebut pelat serta memberikan jawapan sepatah-sepatah ketika disoal.
Kepada cadangan Nur A’minahtul Mardiah bahawa tiada keterangan daripada Bella yang menyebut perkataan ‘disimbah air panas’ atau ‘simbah panas,’ Dr Wan Asyikin menjawab ‘setuju.’
Terdahulu, Dr Rashid Khan Khan Mohamad, 58, dari Klinik Setapak dan Surgeri berkata, Siti Bainun ada berjumpa dengan beliau pada 2 Jun 2021 untuk mendapatkan ubat bagi rawatan kecederaan air panas.
“Dia datang ke klinik mengadu ‘anaknya’ tersimbah air panas pada 9 Mei 2021 dan dia nak ubat termasuk untuk diri sendiri. Untuk Siti Bainun, saya telah memberikan dua jenis tablet iaitu voltaren dan motilium manakala untuk anaknya, saya berikan combidem cream dan tablet pirton,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik.
Ditanya mengenai fungsi ubat terbabit, saksi pendakwaan ke-16 itu menjawab combidem cream adalah untuk mengurangkan keradangan, kurangkan kegatalan dan jangkitan kuman manakala tablet motilium untuk tujuan merawat penyakit angin.
Siti Bainun, 30, berdepan dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi antara Februari dan Jun 2021 di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam bersambung esok dan Bella dijangka memberi keterangan dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup. – Bernama