KUALA LUMPUR – Syarikat Air Darul Aman (SADA) masih berada di takuk lama selaku pengendali perkhidmatan air bersih dan terawat kepada rakyat negeri Kedah.
Pengarah Komunikasi BN Kedah (BNComms), Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, ini kerana masalah air di Kuala Muda, Kuala Kedah, Pendang, Kulim Bandar Bharu dan Pendang tiada tanda krisis akan berakhir.
Malah keadaan bertambah serius dan menekan saban hari, katanya.
Menteri Besar Kedah sepatutnya bersikap tegas dan memandang serius perkara itu dan mengarahkan SADA untuk menjadi lebih prihatin dan cekap.
“Bukannya terus menerus melindungi SADA dan mempertahankan kelemahan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shaiful Hazizy seterusnya mencadangkan Datuk Seri Muhammad Sanusia Md Nor supaya menukar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SADA dan memperkasakan komposisi ahli lembaga pengarahnya.
“Saya ingin menyarankan agar diberi kuota 30 peratus kepada golongan profesional dan pemain industri. Ahli Lembaga Pengarah dari latar belakang politik mesti dikurangkan.
Sebaliknya komposisi Ahli Lembaga Pengarah SADA mestilah dipenuhi dengan mereka yang mempunyai pengetahuan berkenaan pengurusan air.
“Paling penting, ia mesti diduduki oleh mereka yang prihatin terhadap isu rakyat. Bukannya mereka yang ingin menjadikan SADA sebagai sekadar sumber pendapatan pasif,” katanya.
Selain itu, audit bebas perlu dilakukan terhadap SADA dan jika gagal SADA mesti digantikan dengan entiti lain yang lebih berkelayakan supaya lebih kompetitif.
SADA juga, katanya, perlu berkongsi pelan tindakan dan status semasa selain melakukan pemodenan dan pembaharuan infrastruktur air di Kedah.
“Saya yakin kerajaan negeri perlu melaksanakan program pemodenan infrastruktur air besar besaran di negeri Kedah. Pembiayaan dan sumber kewangan boleh dilakukan dengan pelbagai cara.
“Terdapat sekurang-kurangnya lima saluran pembiayaan yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan negeri. Ini termasuklah penerbitan bon khas yang dijamin oleh kerajaan negeri, sumbangan khas kerajaan persekutuan, kerjasama kerajaan dan swasta, sumbangan wakaf dan infak oleh mereka yang berharta serta permohonan dana dalam negara dan antarabangsa,” ujarnya.- MalaysiaGazette