KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Mara (UiTM) mempertahankan emas dalam acara bola jaring dalam temasya Sukan Staf Universiti-universiti Malaysia (SUKUM) ke-44.
Kemenangan ini diperoleh setelah pasukan bola jaring UiTM menewaskan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan mata 36 berbalas 20 dalam perlawanan peringkat akhir yang diadakan di Arena Sports, UNITEN.
Dalam aksi di Sports Arena,UNITEN, UiTM diberi tentangan sengit UMT sebelum bangkit di hujung permainan sekali gus memastikan pingat emas di bawa pulang ke universiti mereka.
Penjaring utama UiTM, Siti Maznah Sulaiman berasa gembira kerana gelaran juara yang disandang oleh pasukan mereka masih utuh dipertahankan kerana sebelum ini mereka pernah menjadi juara bola jaring SUKUM 2018.
”Saya sebagai wakil dari pasukan bola jaring UiTM berasa bangga dan berbesar hati dengan pasukan saya yang memberi komitmen yang penuh sepanjang perlawanan berlangsung dan kesukaran kami untuk berjuang sehingga ke titisan yang terakhir serta menang dengan jayanya.
”Cabaran yang dihadapi adalah berdebar kerana berada di pentas akhir bersama UMT. Tetapi kami tetap berusaha dan bahagia kami dapat merangkul juara sukan ini,”.
Pada akhir acara, UiTM menerima pingat emas dan UMT menerima pingat perak. Pasukan UKM dan UPM masing-masing menerima pingat gangsa.
Sementara itu, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menambah pingat emas pada hari keempat SUKUM ke 44 berlangsung. Pingat Emas diperoleh melalui acara Tenpin Boling Beregu Wanita menewaskan 31 pesaing dengan mata 2,070.
Pada hari kelima kejohanan SUKUM ke-44 hari ini, menyaksikan beberapa acara sukan yang dipertandingkan iaitu bola sepak veteran (Suku Akhir), bola sepak senior (Suku Akhir), badminton berpasukan wanita (Suku Akhir), tenpin boling tiga sepasukan lelaki (akhir), bola
tampar lelaki dan wanita, petanque, dan dua sukan yang baru bermula di peringkat kumpulan iaitu golf berpasukan nett dan gross dan olahraga.
Sebanyak 21 kontinjen daripada universiti awam (UA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama hampir 4,000 orang atlet dan pengurus pasukan yang terlibat dengan kejohanan SUKUM 2022 sehingga 24 September 2022.
Sehingga hari ke-5 hari ini (21 September), kutipan pingat SUKUM 2022 mencatatkan UniMAP masih menguasai pungutan pingat emas dalam berbagai acara. – MalaysiaGazette