KUANTAN – Tindakan UMNO mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada musim tengkujuh bukan sahaja tidak masuk akal tetapi juga didakwa mempunyai agenda sebaliknya.
Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung berkata, tindakan itu disifatkan sebagai menangguk di air keruh selain merugikan rakyat.
“Saya tidak faham kenapa UMNO masih tergesa-gesa mahu mengadakan PRU sebelum akhir tahun ini, melainkan ada tujuan tertentu.
“Memanggil PRU sewaktu banjir juga tidak masuk akal. Tapi ia mungkin dapat menyelamatkan seorang dua politikus yang puas mencari jalan keluar daripada kes mahkamah mereka.
“Sedangkan perbuatan itu jelas merugikan jutaan rakyat biasa dan kita berharap rakyat bersama kita, dan menjadikan keadaan lagi tidak stabil,” katanya.
Lee berkata demikian ketika sidang media di pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu, di sini, hari ini.
Jelasnya menangani isu banjir di negeri ini jauh lebih utama kerana ia melibatkan nyawa dan harta benda berbanding mengadakan pilihan raya.
“Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, turut mengakui bahawa kos menguruskan PRU ketika hujan atau banjir, akan meningkat sedikit sekitar 10 peratus untuk seluruh negara jika ada pusat-pusat mengundi yang terpaksa ditutup.
“Bukankah lebih baik dana tersebut digunakan untuk menaik taraf parit, membersihkan sungai serta memperbaiki longkang? – MalaysiaGazette