Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menjunjung kasih titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengenai rasuah yang membawa pelbagai malapetaka kepada rakyat dan negara.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, titah baginda itu amat tepat, benar dan bertanggungjawab kepada kepentingan rakyat serta negara.

“Saya amat bersyukur dan menjunjung kasih kepada baginda Sultan Perak. Titah yang wajib mendapat perhatian dan penghayatan dari seluruh rakyat jelata.

“Selaku hamba Allah dan Presiden Putra dan sebelum ini mantan Presiden NGO Perkasa, inilah intipati yang saya suarakan tanpa jemu dan letih, sama ada dalam ucapan dasar atau di mana sahaja termasuk ceramah dan sebagai ahli panel pelbagai forum.

“Malaysia sudah menjadi negara busuk dan terkenal di seluruh dunia dengan imej rasuah. Amat memalukan dari sebuah negara tersohor menjadi negara terburuk akibat rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sultan Nazrin Shah pada majlis pelancaran buku ‘Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu bertitah, gejala rasuah menjadi antara punca rakyat tidak mendapat perkhidmatan, pengagihan kekayaan tidak seimbang serta ketirisan khazanah negara.

Titah baginda, rasuah juga mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelabur asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.

Menurut Ibrahim, rasuah bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang politik tapi juga melibatkan penjawat awam.

“Orang politik melakukan rasuah hasil dari kerjasama penjawat awam yang berkuasa. Mustahil orang politik boleh melakukan rasuah tanpa penjawat awam yang menjadi tali barut dan ini yang dikatakan guru kencing berdiri, murid kencing berlari.

“Jika hasil kekayaan negara ditadbir urus dengan baik dan telus tanpa rasuah dan salah guna kuasa, Malaysia adalah yang termakmur di dunia dan sifar kemiskinan serta rakyat yang paling bahagia di muka bumi ini.

“Rakyat hanya 32 juta dan Allah anugerah minyak, gas, galian, kayu kayan bermutu, tanah subur sehingga menjadi pengeluar sawit dan getah terbesar di dunia dengan alam semula indah serta pelbagai keistimewaan tanpa apa-apa bencana gempa bumi, tsunami atau letupan gunung berapi,” katanya.

Katanya, negara lain tidak ada kelebihan itu, tetapi mereka maju, hebat dan tidak ada masaalah kronik seperti Malaysia yang sudah berhutang lebih RM1.4 trilion manakala nilai ringgit jatuh merudum, krisis makanan, inflasi dan pengangguran masih tinggi.

Ujar beliau, jika negara ditadbir secara berintegriti, bersih dan bebas rasuah, kekayaan negara dapat diselamatkan dari rasuah dan salah guna kuasa.

“Malaysia juga mampu melaksanakan dasar dan program pendidikan, perubatan dan perumahan untuk golongan miskin secara percuma untuk semua kaum, sekali gus menyelesaikan isu perkauman.

“Kita patut malu kepada negara jiran, Singapura dan negara lain yang semakin maju dan hebat berbanding Malaysia yang masih setaraf dengan Sri Lanka,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan apakah cukup dengan undang-undang sedia ada untuk membasmikan rasuah sehingga terpaksa menubuhkan jawatankuasa khas dan sebagainya.

Ibrahim juga mencadangkan kerajaan mewujudkan segera Akta Sabotaj Ekonomi (ASE) yang berkonsepkan seakan Akta ISA yang digunakan untuk mencegah sebelum keselamatan negara tergugat.

“Kehancuran ekonomi dan kewangan negara boleh menjuruskan kepada ancaman keselamatan negara bila mana rakyat bangkit memberontak kerana rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Pengalaman revolusi Iran sebagai bukti dan kejatuhan Ferdinand Marcos Filipina dan terbaru di Sri Lanka.

“Panjang huraian bagaimana modus operandi ASE ini tetapi saya mempunyai cadangan dan sedia membantu kerajaaan jika diperlukan. Ini antara hasrat saya untuk diperjuangkan dalam Parlimen selepas PRU-15 jika mendapat mandat,” katanya.

Beliau menjelaskan, hanya melalui ASE sahaja dapat membasmi rasuah dan salah guna kuasa secara berkesan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rasuah antara punca rakyat tidak dapat perkhidmatan sepatutnya – Sultan Nazrin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast