Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

SHAH ALAM – Gejala rasuah menjadi antara punca rakyat tidak mendapat perkhidmatan, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah rasuah juga mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelabur asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.

“Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan, tetapi kerana rasuah ada yang terbenam dalam kemelut kemunduran dan tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Kekayaan negara disalah guna – hasil mahsul lesap.

“Akibatnya, kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, perlakuan rasuah akan tumbuh melebar…lalu diterima sebagai norma dan meresap menjadi budaya, akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis pelancaran buku ‘Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu; Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika’ hasil tulisan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah rasuah ialah penyakit dalam masyarakat yang bersifat barah, yang menjalar sedikit demi sedikit, merosakkan satu persatu organ organisasi sehingga akhirnya melumpuhkan organisasi dan membawa maut jika dibiarkan merebak tanpa disegerakan rawatan kemoterapi.

Titah baginda, daripada 180 negara yang dilaksanakan penilaian oleh Transparency International, Malaysia jatuh daripada kedudukan ke-57 dengan skor 52 pada 2020, ke kedudukan ke-62 mencatat skor 48 pada tahun lepas dan kini Malaysia dikelompokkan dalam kumpulan dua pertiga negara yang mencapai skor di bawah 50.

“Oleh yang demikian, kita tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian, memikirkan segala justifikasi – bersilat dengan segala helah mahu menidakkan kewujudan ‘gajah’ rasuah di hadapan mata,” titah baginda.

Sultan Nazrin menegaskan masyarakat wajib bersifat berani mengakui realiti bahawa amalan rasuah sedang berlaku pada skala yang membahayakan berdasarkan teguran berulang kali yang terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

“Bilangan aduan serta rungutan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, subjek yang terkandung dalam surat layang, berita yang terpapar dalam media dan isu yang diuar-uarkan dalam media sosial, hendaklah dijadikan cermin serta dianggap petunjuk kepada situasi rasuah yang berlaku.

“Malah jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah hari ini lebih ramai manusia yang disesatkan dengan kuasa dan kekayaan tanpa sedar dan malu akan kebarangkalian tergelincir melakukan perbuatan berunsur syirik kerana sanggup mengabdikan diri menjadi hamba kepada wang, kuasa, pangkat dan jawatan sehingga mendewakan manusia lain.

Baginda juga mengingatkan bahawa sumber kuasa yang diperoleh melalui sogokan belum terjamin dikembari dengan kesetiaan dan sifat sebenar manusia akan terserlah ketika mendapat jawatan, kuasa serta kekayaan dengan tidak lagi mengotakan janji selain menjelmanya sifat sombong dan bongkak.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah dalam usaha melakukan yang makruf dan menentang yang mungkar, jangan sama sekali berputus asa berdoa memohon petunjuk dan kekuatan daripada Ilahi, justeru baginda menitahkan khutbah pada setiap solat Jumaat di negeri Perak dilengkapkan dua doa.

“Pertama: Ya Dzal Jalali Wal Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Kedua: Ya Malikul Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah bahawa negara juga memerlukan lebih ramai murabbi (pendidik) untuk tampil ke hadapan secara berani menggemakan mesej memerangi rasuah kerana golongan ini mempunyai peranan yang amat penting untuk mendidik dan menyuburkan kesedaran kerohanian serta moral.

Mengenai pelancaran buku hari ini, Sultan Nazrin bertitah bahawa pendekatan penulis, Dr Mohd Kamal merupakan pendekatan baharu di luar kotak budaya bangsa melalui pemilihan dua kata kunci iaitu korupsi serta kemunafikan dan mengaitkannya dengan politik Melayu sebagai tajuk buku dan kandungan buku ini amat perlu disebarkan mesejnya ke setiap tempat dalam bahasa yang mudah difahami. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast