Barang-barang rampasan daripada tiga suspek yang curi dan jual gelung kabel yang dicekup polis semalam di Ampang dan juga Setapak. Ihsan IPD Ampang Jaya

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki ditahan polis di Setapak, dekat sini, semalam kerana disyaki mencuri dan menjual kabel berharga RM20,000.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian berlaku pada 16 September lalu di Pusat Perdagangan Pandan Indah, di sini, pengadu yang tiba di pejabat mendapati mangga pada grill telah diumpil.

“Pemeriksaan lanjut pengadu mendapati empat gelung kabel berharga lebih kurang RM20,000 yang diletakkan di bahagian tangga pejabatnya hilang dipercayai telah dicuri.

“Bertindak atas maklumat, pada Jumaat antara jam lebih kurang 10.30 sehingga 11.45 pagi, sepasukan pihak polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya telah berjaya membuat tangkapan ke atas tiga suspek warga tempatan di Setapak disyaki terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut terhadap suspek berusia antara 24 hingga 34 tahun membawa kepada rampasan beberapa pakaian dan sebuah lori yang digunakan untuk melakukan jenayah itu.

Selain itu, katanya, polis juga merampas satu salinan resit bayaran penjualan kabel yang dicuri itu kepada pihak ketiga.

“Semakan ke atas tangkapan pertama mendapati dia memiliki tujuh rekod lampau jenayah dan dadah manakala suspek kedua dan ketiga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Manakala, ujian air kencing ke atas tangkapan pertama didapati positif dadah jenis Methamphetamine sementara tangkapan kedua dan ketiga negatif sebarang dadah,”katanya sambil menambah modus Operandi suspek menyasarkan gelung kabel yang diletakkan di tangga rumah kedai.

Menurut Mohamad Farouk, ketiga-tiga suspek telah direman selama empat hari bermula hari ini bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun keseksaan kerana melakukan kesalahan mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya. – MalaysiaGazette