SEOUL – Korea Utara disyaki telah melepaskan peluru berpandu balistik di luar pantai timurnya – ujian pertama sejak Jun lalu, kata pegawai tentera Korea Selatan.
Ia berlaku selepas kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS) tiba di Korea Selatan untuk menyertai latihan bersama, dan menjelang lawatan Naib Presiden Kamala Harris.
Harris akan melawat Korea Selatan tidak lama lagi sebagai sebahagian daripada lawatan ke rantau itu termasuk menghadiri pengebumian bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.
Media kerajaan Korea Selatan berkata, jirannya mungkin sedang bersiap untuk menguji peluru berpandu balistik kapal selam.
Pengawal pantai Jepun mengesahkan pelancaran itu, memberi amaran kepada kapal supaya berwaspada kerana objek itu kelihatan jatuh di luar zon ekonomi eksklusifnya.
USS Ronald Reagan berkuasa nuklear berlabuh di bandar pelabuhan selatan Busan pada Jumaat lalu untuk mengambil bahagian dalam latihan bersama di luar pantai timur Korea Selatan.
Tentera laut Korea Selatan mendakwa, latihan itu “demi keamanan dan kestabilan di Semenanjung Korea”.
Ketegangan di semenanjung Korea telah meningkat pada tahun lalu apabila Pyongyang menembak beberapa peluru berpandu balistik. – MalaysiaGazette