Faridah mengusap tangan anaknya, Nurul Alieyaa, seorang OKU fizikal akibat masalah saraf berpunca daripada serangan sawan Ogos tahun lalu sambil diperhatikan dua anaknya yang turut merupakan OKU.

MELAKA – “Dulu rasa malu juga terpaksa minta bantuan sana sini, tapi sekarang ini saya terpaksa ketepikan perasaan itu demi tiga anak-anak orang kurang upaya (OKU).

“Tiap-tiap malam, saya berdoa agar Allah berikan kekuatan kepada saya untuk terus tabah menjaga anak-anak OKU ini sehingga ke akhir hayat,” kata surirumah Faridah Loyot, 42.

Menceritakan kisahnya bersama suami, Rosli Yaacob, 52, membesarkan ketiga-tiga anak istimewanya itu, wanita ini berkata, hanya Allah yang tahu cabaran emosi dan kewangan perlu dilalui mereka sekeluarga.

Ketiga-tiga anak mereka, Nurul Shafieqah Aida Rosli, 22, Nurul Alieyaa Maiesara, 19 dan Muhammad Nur Iedeil Fietrie, 11, merupakan OKU sejak kecil.

Menurutnya, Nurul Shafieqah dan Muhammad Nur Iedeil masing-masing merupakan OKU pembelajaran spesifik (Spesific LD) dan masalah pembelajaran manakala Nurul Alieyaa adalah OKU fizikal akibat masalah saraf berpunca daripada serangan sawan Ogos tahun lalu.

“Keadaan itu, mengakibatkan Nurul Alieyaa kini hanya mampu bergerak dengan bantuan apabila saraf-saraf badannya semakin lemah dan terpaksa bergantung pada susu khas sebagai sumber makanan.

“Nurul Alieyaa turut mengidapi pelbagai masalah kesihatan lain seperti sindrom Stevens-Johnson (SJS) yang berkaitan sistem imun selain kulit menjadi teruk menyebabkannya tertanggal seperti melecur,” katanya sebak ketika ditemui di rumahnya di Taman Limbongan Permai di sini hari ini.

Menurutnya, dengan pendapatan suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sekitar RM2,000 sebulan, dia tidak mampu menanggung perbelanjaan susu khas berharga RM35 sekotak 400 gram dan kos pengangkutan ulang alik ke hospital sekitar RM1,000 setiap bulan.

Faridah (kanan) menerima sumbangan disampaikan Ashwad yang meluangkan masa melawatnya di rumahnya di Taman Limbongan Permai, Melaka hari ini.

“Sekarang ini, bil air dan api rumah pun dah tertunggak sehingga kerap kali saya dan suami terpaksa tahan malu pinjam duit saudara mara dan kawan-kawan demi perbelanjaan anak-anak.

“Mujurlah, ada juga dapat bantuan makanan dan sara hidup daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) keseluruhannya berjumlah RM300 sebulan atas nama anak bongsu yang masih bersekolah.

“Itu pun, saya terpaksa tangguhkan kos untuk membeli cermin mata dua anak yang sepatutnya memerlukannya kerana tahap penglihatan yang sudah kabur,” katanya.

Sementara itu, kepayahan hidup keluarga itu mendapat perhatian ahli perniagaan yang juga Presiden Persatuan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM), Ashwad Abd Rahim.

Dalam kunjungannya itu, beliau menyampaikan sumbangan tunai untuk kos membeli dua cermin mata yang diperlukan Nurul Alieyaa dan Muhammad Nur Iedeil.

“Selain itu kita juga akan membeli 10 kotak susu khas itu dan akan turut melihat keperluan lain yang diperlukan keluarga ini dari semasa ke semasa.

“Kita amat bersimpati dengan nasib hidup dilalui dan berharap orang ramai juga turut dapat bersama-sama membantu meringankan beban yang terpaksa ditanggung,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional, 0413241000045363 atas nama Faridah Loyot. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast