KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Komisioner Datuk Seri Hazani Ghazali dilantik sebagai Pengarah Operasi PDRM bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mahu semua pegawai pemerintah dan semua petugas PRU15 sentiasa mengambil cakna dan memahami akan tanggungjawab masing masing.
Selain itu, katanya, mereka juga perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah akta kesalahan Pilihan Raya 1954 dan lain-lain akta yang berkaitan dalam melaksanakan tugas semasa PRU ke-15.
“Para petugas PDRM perlulah menjalankan tugas dengan profesional demi mengelak sebarang implikasi yang mampu mencalarkan kredibiliti pasukan dan kewibawaan kerajaan.
“Saya telah pun mengeluarkan arahan bertarikh 14 September 2022, mengenai usaha-usaha memantapkan amalan penyampaian kesantunan berbahasa dalam penyampaian perkhidmatan PDRM yang perlu diberikan perhatian.
“Sebagai pegawai polis kita perlu bijak untuk mengawal emosi, menjaga tutur kata dan mengekalkan tahap profesionalisme yang tinggi sepanjang kita menjalankan tugas, terutamanya apabila berhadapan situasi-situasi yang bersifat provokasi,” katanya pada Perhimpunan Bulanan PDRM di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 67 pegawai polis dan pegawai awam menerima sijil penghargaan atas prestasi cemerlang yang dipamerkan mereka dalam menjalankan tugas.
Sementara itu, Acryl Sani berkata, para pegawai dan anggota polisĀ perlu bersifat telus dalam menangani isu-isu melibatkan parti politik agar pasukan keselamatan itu dilihat sebagai institusi yang profesional. – MalaysiaGazette