KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bachok, Nik Nik Abduh Nik Aziz mengucapkan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) kerana telah menerima permohonan untuk membantu melancarkan majlis perkahwinan dua orang anaknya.
Pemimpin Pas itu turut mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang turut menerima permohonan untuk melancarkan lalu lintas berikutan kehadiran hampir 10,000 tetamu.
“Saya akhirnya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak PDRM, MPKB dan JKR yang telah menerima permohonan saya untuk turut sama membantu melancarkan majlis keraian dan jamuan rakyat kami terutama dalam memastikan keselesaan pergerakan dan kelancaran lalu lintas yang agak sesak pada waktu puncak.
“Pihak MPKB sebagaimana biasa turut menyediakan tambahan tong-tong sampah bagi memudahkan urusan pungutan dan pemindahan sisa pepejal bagi menjamin kebersihan (kesihatan) dan keceriaan kawasan sekolah dan Masjid Tok Guru yang perlu dipulihkan dengan cepat,” katanya dalam kenyataan.
Nik Abduh yang merupakan anak kepada bekas Murshidul Am Pas Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat turut merakamkan jutaan terima kasih kepada lebih 500 sukarelawan hadir memastikan kelancaran majlis yang diadakan baru-baru ini.
Nik Abduh melangsungkan majlis bekwoh kesyukuran perkahwinan dua anaknya, Nik Ahmad Shah Waliyullah dan Nik Nurana Nazeehah dengan pasangan masing-masing.
“Majlis bekwoh kesyukuran saya ini adalah juga menjadi majlis kesyukuran keluarga besar Nikmatillah yang diketuai oleh Tuan Guru Nik Razi bin Nik Mat yang telah sepakat untuk menganjurkannya secara bersama.
“Selepas kematian almarhum ayahanda saya tujuh tahun lepas, inilah julung kalinya keluarga besar kami menganjurkan jamuan rakyat dengan jemputan kepada seluruh masyarakat setempat, terutama rakan taulan dan anak-anak murid kepada al marhum ayahanda yang sememangnya dibayangi dengan memori kerinduan kepada almarhum.
“Harapan kami, dengan adanya majlis keraian dan bersua muka sesama mereka secara besar-besaran di rumah dan masjid Tok Guru Pulau Melaka, ia akan menghidupkan kembali memori indah saat bersama ayahanda tuan guru,” katanya.
Selain pemimpin Pas turut hadir adalah pemimpin UMNO termasuk Ketua Perhubungan UMNO negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor.
Sebelum ini Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat Nik Abduh atas alasan salah guna kuasa.
Ini setelah surat Ahli Parlimen Bachok itu meminta bantuan MPKB bagi melancarkan majlis perkahwinannya tular di media sosial.
“Permintaan Nik Abduh untuk kerjasama daripada MPKB menimbulkan persoalan merisaukan mengenai salah guna kuasa apabila Nik Abduh menggunakan kepala surat rasminya sebagai Ahli Parlimen Bachok.
“Nik Abduh sepatutnya menjelaskan apakah dimaksudkannya apabila meminta kerjasama daripada MPKB untuk majlis perkahwinan anak perempuannya.
“Beliau tidak perlu menggunakan kepala surat rasmi dan status Ahli Parlimen Bachok untuk mendapatkan kerjasama MPKB bagi acara persendirian keluarga yang tidak berkaitan dengan tugas awam kepada pengundinya,” kata Guan Eng. – MalaysiaGazette