zaid ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disarankan supaya merombak Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi memperkukuhkan lagi kedudukannya dalam parti.

Pemimpin UMNO, Datuk Zaid Ibrahim berkata, ketika parti dalam keadaan tidak menentu sebelum ini, segelintir pemimpin UMNO ‘lari’ kerana mereka berasa selesa dengan kumpulan lain.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, masanya sudah tiba bagi Ahmad Zahid untuk menarik sokongan daripada rakan-rakan dan penyokongnya yang lain.

“Saya rasa kalau perlu Presiden nak ubah keahlian MKT, buatlah. Jangan bimbang, jangan rasa was-was, buatlah yang terbaik, tegasnya.

“Kalau ada ahli-ahli yang rasa tak selesa atau lebih berseronok dengan upahan-upahan atau cara-cara dari pihak lain yang menguntungkan mereka, saya rasa tinggalkanlah mereka, pilihlah kumpulan baharu dalam MKT,” katanya seperti dipetik dari rakaman video yang disiarkan dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Zaid menambah, beliau mendengar khabar mengenai segelintir ketua UMNO bahagian yang dahulu menyokong Ahmad Zahid namun kini, pendirian mereka berubah.

Beliau berkata, sekiranya perkara itu benar-benar berlaku, Ahmad Zahid perlu bertindak balas.

“Mungkin Presiden tak boleh bawa mereka ke New York atau naik jet tetapi yang penting bagi ahli-ahli UMNO di bawah sana adalah keikhlasan, kesetiaan kita kepada parti.

“Nilai-nilai yang dahulunya memperkukuhkan parti kita masih ada. Ahli-ahli UMNO bukanlah semuanya telah membelakangkan kesetiaan,” jelasnya.

Zaid percaya ramai ahli UMNO masih lagi bersikap tradisional dan berpegang kepada nilai-nilai lama yang menunjukkan kepentingan kesetiaan, muafakat dan menghormati ketua.

“Bukanlah saya nak katakan Presiden kita tak kukuh, maklumlah di zaman sekarang ini macam-macam boleh berlaku.

“Ada orang kata ada gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar segala pengumuman media terutamanya yang melibatkan dasar-dasar parti dibuat secara bersama oleh Ahmad Zahid dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Kerana Tok Mat (Mohamad) adalah Timbalan Presiden, adalah elok kalau pengumuman dasar dan perubahan dibuat bersama dengan Presiden supaya tidak lagi timbul kononnya ada orang lain yang akan mengambil tempat,” jelasnya.

Berhubung kerjasama dengan parti-parti lain, Zaid berkata, UMNO perlu bersikap terbuka namun pada yang sama, jangan bermuafakat dengan pihak yang jelas memusuhinya.

“Kita muafakat dengan orang yang kita selesa, misalnya dalam Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang saya percaya ikhlas,” katanya. – MalaysiaGazette