KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan spekulasi kononnya Datuk Seri Najib Razak diberi layanan istimewa di Penjara Kajang sehingga wujud kod Merpati sebagai sangat mengarut.
Peguam bela bekas Perdana Menteri itu turut menolak dakwaan Najib menerima layanan khas ketika rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan pemantauan lanjutan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).
”Sebenarnya apa itu kod Merpati? Ini sangat mengarut sama sekali. Saya tidak faham langsung. Jika betul Najib ada terima layanan seperti itu, sudah tentu beliau akan diberi bilik khas untuk makan tengah hari di mahkamah ketika prosiding berhenti rehat.
“Sangat mengarut. Ia adalah bilik standard (di HRC) bagi sesiapa sahaja yang memerlukan rawatan dari penjara,” katanya yang menjawab soalan media ketika ditanya mengenai spekulasi layanan yang diterima Najib yang ketika ini sedang menjalani hukuman di penjara.
Menurut Muhammad Shafee, beliau juga tidak dapat melawat Najib pada hari Sabtu dan Ahad kerana Jabatan Penjara Malaysia tidak akan memberi pengecualian banyak kali.
Ini bermakna, proses berurusan dengan Najib sama seperti banduan-banduan lain.
Peguam itu menegaskan, Najib terpaksa menjalani rawatan fisioterapi di HRC berikutan keadaan kesihatannya yang mengalami masalah sakit lutut dan sakit belakang yang dihadapinya ketika menjadi Perdana Menteri lagi.
Disebabkan masalah kesihatan itu, para doktor telah mengsyorkan Najib menerima rawatan di HRC kerana di HKL sahaja tidak memadai.
Minggu lepas, kecoh di laman sosial tentang dakwaan layanan istimewa kepada Najib antaranya membabitkan pengubahsuaian ruang penjara dan rancangan untuk membawanya ke HRC bagi memudahkan beliau menerima tetamu dan mendapat kemudahan orang kenamaan (VIP).
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.
Beliau dimasukkan ke HKL dua minggu lalu kerana menghadapi masalah ulser perut dan darah tinggi.
Najib yang hadir di mahkamah hari ini kelihatan lebih sihat dan ceria serta melemparkan senyuman walaupun dikawal ketat oleh pegawai penjara.
Beliau sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Prosiding bersambung esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah. – MalaysiaGazette