KUALA LUMPUR – Pemimpin Kanan DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada Timbalan Presiden MIC M. Saravanan merupakan hamba kepada UMNO dan seorang pelampau.
Pertanyaan tersebut dilontarkan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu selepas Menteri Sumber Manusia itu dilaporkan berkata, DAP tidak sepatutnya diberi peluang lagi selepas kegagalan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara.
Saravanan turut mendakwa, DAP mendominasi Kerajaan PH ketika era pemerintahan PH selepas menang Pilihan Raya Umum ke-15.
“Adakah Timbalan Presiden MIC merangkap Menteri Sumber Manusia, M. Saravanan, seorang pelampau, seorang yang bodoh, atau seorang hamba?
“Saravanan patut mempelajari pengajaran mengenai kekurangan tenaga kerja dalam negara, sebaliknya, dia kelihatan seperti lebih bersedia untuk menjadi hamba kepada pemimpin UMNO yang kini sedang bersungguh-sungguh untuk memburukkan barisan pimpinan DAP yang baharu dengan mengatakan yang DAP akan memerintah negara sekiranya Pakatan Harapan menang dalam PRU-15.
“Siapakah yang Saravanan sedang cuba takut-takutkan – orang Melayu, Cina, India, atau rakyat Malaysia?” tanya Kit Siang.
Dalam artikel yang disiarkan di blognya, Kit Siang turut mempersoalkan sama ada Saravanan berjiwa Malaysia yang mengutamakan dirinya sebagai rakyat Malaysia dan keduanya sebagai orang India, atau sebaliknya.
Kit Siang turut mempersoalkan apakah yang telah dilakukannya Saravanan sebagai Timbalan Presiden MIC untuk menjadikan MIC sebagai parti Malaysia dan bukannya sebagai sebuah parti orang India.
“Salah satu masalah yang dihadapi oleh pemimpin UMNO hari ini adalah bagaimana untuk mereka memomokkan pimpinan baharu DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.
“Mengapakah Saravanan sedang cuba membantu UMNO dalam usahanya untuk memomokkan DAP ini?” tanya Kit Siang.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu turut mendakwa tidak ada parti dominan dalam Pakatan Harapan sepertimana Barisan Nasional yang didominiasi oleh UMNO.
Media semalam melaporkan, Saravanan mahu rakyat terutama orang Melayu menilai semula apa yang dilakukan DAP ketika PH menjadi kerajaan selama 22 bulan.
“Kita lihat DAP tidak sepatutnya diberi peluang lagi. Kita dah lihat khususnya (ke atas) orang Melayu apa berlaku dalam 22 bulan.
“Rakyat dah lihat 22 bulan macam mana kita menderita, kita perlu sedar. Cukuplah…Saya percaya orang Melayu sendiri tidak akan beri undi kepada PH selagi ada DAP,” katanya.
Saravanan berkata, DAP sebagai parti yang dominan dalam PH sudah tentu akan menjadi penentu ketika memerintah negara, meskipun Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Tapah itu berkata, rakyat perlu menyedari bahawa sekiranya PH menang, DAP adalah parti yang akan mendapat kerusi Parlimen yang paling banyak.
“Kalaupun BN bertanding, kita cukup pasti Perdana Menteri menentukan segala-galanya, tetapi kalau PH menang, di antara PKR, Amanah, DAP, Muda, siapakah akan dapat kerusi lebih banyak?
“Maka, mereka (DAP) yang jadi penentu bagaimana hendak memerintah negara ini. Kita tahu apa akan berlaku kalau DAP jadi penentu,” katanya. – MalaysiaGazette